Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

500 tunjuk perasaan, ratusan cedera akibat kawalan ketat di Kashmir

Sekurang-kurangnya 500 insiden tunjuk perasaan tercetus di bahagian Kashmir yang ditadbir India sejak New Delhi melucutkan status autonomi wilayah tersebut dan menguatkuasakan kawalan ketat lebih tiga minggu lalu, menurut sumber kanan pemerintah kepada AFP pada Rabu (28 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
500 tunjuk perasaan, ratusan cedera akibat kawalan ketat di Kashmir

Puluhan ribu askar tambahan dikerahkan ke Kashmir (Gambar: AFP/Sajjad Hussain)

Diterbitkan : 28 Aug 2019 11:43PM Dikemas Kini : 28 Aug 2019 11:45PM

SRINAGAR: Sekurang-kurangnya 500 insiden tunjuk perasaan tercetus di bahagian Kashmir yang ditadbir India sejak New Delhi melucutkan status autonomi wilayah tersebut dan menguatkuasakan kawalan ketat lebih tiga minggu lalu, menurut sumber kanan pemerintah kepada AFP pada Rabu (28 Ogos).

Lembah Himalaya itu kini dikawal ketat dan langkah tersebut dikuatkuasakan beberapa jam sebelum India memutuskan untuk meletakkan Kashmir di bawah pemerintahannya. Pergerakan kini terbatas dan khidmat telefon dan Internet juga sudah digantung.

Kawalan ketat serta pengerahan berpuluh-puluh ribu askar tambahan untuk menyokong 500,000 askar yang sudah berpangkalan di Kashmir, dilakukan di tengah-tengah kebimbangan berlakunya pergolakan di wilayah di mana pemberontakan bersenjata menentang pemerintah India sudah tercetus sejak 1989.

KEMARAHAN, BANTAHAN AWAM KIAN MEMUNCAK

Tunjuk perasaan semakin berleluasa termasuk di bandar utama Srinagar, dengan polis menggunakan senapang angin dan gas pemedih mata untuk menyuraikan orang ramai.

Pegawai kanan pemerintah memberitahu AFP bahawa sekurang-kurangnya 500 tunjuk perasaan dan insiden membaling batu dilaporkan sejak 5 Ogos, dengan lebih separuh daripadanya berlaku di Srinagar.

Hampir 100 orang awam cedera setakat ini, dengan lagi 300 pegawai polis dan lebih 100 anggota pasukan separa tentera turut tercedera, menurut pegawai itu.

"Bilangan tunjuk perasaan mungkin lebih banyak dan lebih besar jika tiada sekatan dikuatkuasakan," kata pegawai itu kepada AFP, sambil menambah bahawa "kemarahan dan bantahan awam kian meningkat".

KEHIDUPAN BELUM KEMBALI NORMAL

Sementara itu, para penduduk enggan meneruskan kehidupan seperti biasa sebagai tindakan bagi menunjukkan bantahan mereka, lapor seorang wartawan AFP di Srinagar.

Meskipun pihak berkuasa sudah membuka semula sekolah, para pelajar memilih untuk menjauhkan diri. Sementara itu, apabila diberi pilihan untuk terus dibuka sepanjang hari atau "tidak dibuka sama sekali", sebilangan peniaga memilih untuk menutup kedai.

Sekurang-kurangnya 4,000 orang ditahan di merata wilayah itu, menurut sumber keselamatan dan pemerintah yang memaklumkan AFP minggu lalu. Mereka yang ditahan termasuk ahli perniagaan, ahli akademik, para aktivis dan ahli politik tempatan, dengan hanya segelintir yang dibebaskan sejak itu.

Seorang lagi pegawai pemerintah memberitahu AFP bahawa sekurang-kurangnya 1,350 penunjuk perasaan - yang disifatkan oleh pihak polis sebagai "pembaling batu" - sudah ditahan sejak 5 Ogos.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan