Images
  • guns
    Gambar hiasan.

50 pemilik senjata bantah perubahan undang-undang senjata NZ

MELBOURNE: Sekumpulan 50 pemilik senjata api New Zealand membantah pembaharuan peraturan senjata api, mengemukakan nota perbalahan berhubung tindakan memperketatkan undang-undang senjata api. Ini menyusuli insiden pembunuhan beramai-ramai di dua masjid Christchurch pada Mac lalu yang mengorbankan 51 jemaah.

Usaha Perdana Menteri Jacinda Ardern untuk mengawal senjata mendapat pujian sedunia, namun bukan di New Zealand. Dengan menjelang pilihan raya akan datang, beliau berdepan tentangan daripada parti pembangkang, Parti Kebangsaan. Ini juga termasuk kumpulan melobi senjata dan rakyat biasa berhubung peraturan yang bakal diperkenalkan pada September.

Menurut laporan media, sekumpulan pemilik senjata api, mengemukakan bantahan hari ini (30 Nov) ketika acara beli-balik senjata di Auckland. Mereka membawa sepanduk kad bertulis ‘Undang-undang ini menyakiti warga biasa Kiwi’ dan ‘Berhati-hati: bantah undang-undang senjata’.

Undang-undang baru itu sedang dibentangkan di parlimen dan bakal memperkenalkan pendaftaran senjata dan memperketatkan proses kelulusan pemilik senjata.

Pada April lalu, parlimen meluluskan undang-undang hampir sebulat suara membendung penggunaan dan pengedaran senjata api semi-automatik.

Laman berita New Zealand, Stuff.nz menukil kenyataan seorang juara menembak negara itu yang berkata, senjata yang dikumpul dan dimusnahkan mempunyai nilai budaya.

“Sejarah New Zealand sudah dinodai, kita bercakap tentang Perang Dunia I, Perang Dunia II,” kata Encik O’Brien.

"Kami mahu mereka berhenti dan menumpukan kepada pemilikan senjata secara haram,” katanya sambil menggesa kerajaan negara itu agar menghentikan perubahan undang-undang tersebut.   

- REUTERS/NA/na

Top