Images
  • bangunan runtuh shanghai
    (Gambar: AFP)

5 maut bangunan runtuh di Shanghai

SHANGHAI: Lima orang terbunuh apabila sebuah bangunan komersil dua tingkat di Shanghai runtuh pada Khamis (16 Mei) ketika ia dalam proses menaik taraf, menurut pihak berkuasa bandar tersebut.

Pasukan penyelamat sebelum itu menyatakan 19 daripada 20 mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan berjaya dikeluarkan dengan selamat.

Namun, pemerintah bandar Shanghai dalam akaun media sosial rasminya mengesahkan lima daripada mereka yang dikeluarkan sudah meninggal dunia.

Kejadian itu dilaporkan berlaku pada jam 11.30 pagi (waktu tempatan) di tengah Shanghai, apabila bumbung bangunan dua tingkat berkenaan runtuh, lalu menghempap pekerja pembinaan, menyebabkan 20 orang terperangkap.

Menurut gambar yang dimuat naik menerusi akaun media sosial milik kementerian kecemasan China, beberapa anggota penyelamat sedang mengeluarkan pekerja, yang dilitupi debu dari bawah runtuhan.

Lebih 150 orang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamatkan mangsa-mangsa.

Bangunan itu pernah digunakan para pengedar kereta Mercedes-Benz.

- Agensi berita/SU/tq

Top