Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

5 maut, 32 cedera bas bertembung dengan teksi

Lima maut dan 32 lagi cedera dalam satu kemalangan jalan raya pada Jumaat (30 Nov) yang melibatkan sebuah bas dengan sebuah teksi di Hong Kong.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 30 Nov 2018 11:36AM Dikemas Kini : 30 Nov 2018 09:23PM

HONG KONG: Lima maut dan 32 lagi cedera dalam satu kemalangan jalan raya pada Jumaat (30 Nov) yang melibatkan sebuah bas dengan sebuah teksi di Hong Kong.

Menurut polis, bas berkenaan sedang dalam perjalanan ke lapangan terbang Hong Kong apabila ia berlanggar dengan teksi tersebut.

Penumpang bas dikatakan tercampak keluar dari tingkap akibat kesan pelanggaran.

Gambar yang disiarkan media tempatan menunjukkan separuh belakang teksi hancur sepenuhnya manakala bahagian depan bas remuk akibat kemalangan di pulau Tsing Yi itu.

Pemandu teksi dan empat penumpang bas - dua lelaki dan dua wanita, maut dalam kejadian pada 5 pagi itu, menurut pihak polis.

Media tempatan melaporkan bas terbabit adalah "bas pelancong" namun menyatakan ketika pelanggaran yang berlaku di hujung terowong, kenderaan itu sedang membawa pekerja ke lapangan terbang.

Sebatang lebuh raya menghubungkan Tsing Yi dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong di pulau jiran Lantau.

Rakaman televisyen menunjukkan mangsa yang cedera dirawat di tepi jalan sebelum dikejarkan ke hospital. Media tempatan melaporkan beberapa yang cedera berada dalam keadaan parah.

South China Morning Post melaporkan seorang penumpang bas itu sebagai berkata kenderaan tersebut dipandu laju dan merempuh sebuah teksi yang berhenti di tepi jalan dengan isyarat lampu berhenti.

"Saya rasa bas itu tidak perlahankan kelajuan. Saya terjatuh ke lantai (apabila pelanggaran berlaku)," kata penumpang itu. 

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan