Images
  • sungai gong culprit
    (Gambar: BERNAMA)

5 lelaki termasuk 4 beradik pemilik kilang didakwa atas pencemaran sungai di Selangor

KUALA LUMPUR: Empat ahli lembaga pengarah dan seorang pengurus sebuah syarikat membaiki jentera berat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang, Kuala Lumpur, pada Selasa (15 Sep) berhubung kes pembuangan bahan berbahaya ke dalam Sungai Gong, Rawang, baru-baru ini.

Empat ahli lembaga pengarah yang juga adik-beradik iaitu Yip Kok Wai, 53 tahun; Yip Kok Mun, 58 tahun; Yip Kok Kuin, 70 tahun; dan Yip Kok Wong, 60 tahun serta pengurus bengkel tersebut Ho Voon Leong, 59 tahun, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Syafeera Mohd Said.

Bagi pertuduhan pertama, kesemua mereka didakwa melakukan khianat dengan menyebabkan bahan buangan yang mengandungi bahan berbahaya daripada bengkel Yip Chee Seng & Sons Sdn Bhd dilupuskan ke dalam alur air yang akan mengalir ke dalam Sungai Gong dengan mengetahui bahawa ia akan menyebabkan susut bekalan air bagi minuman manusia.

Kelima-lima lelaki itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di premis berkenaan di Kampung Sungai Dua, Rawang, antara 2 hingga 3 September lepas.

Mengikut pertuduhan kedua, mereka dengan niat bersama dituduh telah melepaskan bahan buangan mengandungi bahan berbahaya dari bengkel sama ke dalam alur air yang akan mengalir ke sungai sama tanpa lesen, di tempat dan masa sama.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan hukuman denda RM100,000 (S$33,000) atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Selepas mendengar hujahan pendakwaan dan peguam, mahkamah tidak membenarkan kelima-lima lelaki itu dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu sebutan kes pada 27 Oktober.

Pada 3 September lalu, berlaku pencemaran minyak dari kilang berkenaan yang menyebabkan empat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas. Keadaan itu mengakibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual yang menjejaskan kira-kira lima juta pengguna di 1,292 kawasan di tujuh wilayah di sekitar Lembah Klang.

- BERNAMA/FZ/fz

Top