Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

5 lelaki, termasuk 2 askar dihukum gantung, bunuh lelaki di kelab

Mahkamah Tinggi semalam (27 Dis) menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap lima lelaki termasuk dua anggota tentera selepas didapati bersalah membunuh seorang lelaki di kelab snuker, tahun lepas.

Anggaran Waktu Membaca:
5 lelaki, termasuk 2 askar dihukum gantung, bunuh lelaki di kelab

Gambar fail. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 28 Dec 2017 10:02AM Dikemas Kini : 28 Dec 2017 10:03AM

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi semalam (27 Dis) menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap lima lelaki termasuk dua anggota tentera selepas didapati bersalah membunuh seorang lelaki di kelab snuker, tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohamad Shariff Abu Samah menjatuhkan hukuman itu terhadap anggota tentera Mohamad Hairul Abdullah, 35, dan Lawrance Masing, 33, pengawal keselamatan, M. Yogesvaran, 24, pembantu kedai, Zaidi Zainal, 32, serta penyelia kedai emas Chong Kai Weng, 33, selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Kelima-lima lelaki itu didakwa mengakibatkan kematian terhadap penganggur, Mohd Yusof Abd Khalib, 26, di V-Club Snooker antara 8.30 malam hingga 11.00 malam pada 1 Mei 2016.

Kelima-lima lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntuk hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Datuk Shariff, dalam penghakiman bertulis setebal 245 muka surat, berkata cerita kononnya kesemua tertuduh ingin menangkap penyamun dan membawanya ke balai polis adalah satu rekaan semata-mata dan mahkamah berpandangan cerita tersebut adalah satu keraguan fantasi yang tidak menjejaskan kes pendakwaan.

"Gambaran keseluruhan yang dilihat di akhir kes ini adalah tertuduh kedua hingga kelima sememangnya membelasah si mati dengan menendang, menghentak dengan kaki dan tangan secara bertubi-tubi dan sangat ganas.

"Tertuduh pertama yang turut berada di tempat kejadian secara niat bersama sengaja membiarkan perlakuan itu berlaku yang mana kecederaan parah itu lazimnya akan menyebabkan kematian. Mereka kemudian membawa keluar si mati dengan kereta dan meninggalkan isteri si mati berseorangan di luar kelab snuker itu," katanya.

Beliau berkata sepanjang perbicaraan kes di peringkat pendakwaan dan pembelaan, mahkamah tidak nampak kewujudan orang lain selain daripada kelima-lima tertuduh.

"Tindakan kelima-lima tertuduh ini telah membatasi sifat-sifat murni kemanusiaan dengan mengambil undang-undang di tangan sendiri.

“Kalau pun si mati dikatakan seorang penyamun, tindakan alternatif adalah untuk dibawa ke muka pengadilan dan bukannya mengambil tindakan seolah-olah seekor harimau sedang lapar membaham mangsanya," kata Datuk Shariff.

Selepas penghakiman itu disampaikan, seorang daripada anggota keluarga tertuduh menangis.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Nazneen Zulkifli manakala semua tertuduh diwakili peguam M. Jagesh.

Seramai 17 saksi pendakwaan dan lapan saksi pembelaan termasuk kelima-lima tertuduh dipanggil memberi keterangan semasa perbicaraan kes berkenaan. 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan