Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

5 kanak-kanak positif difteria dikuarantin di Johor

Lima kanak-kanak yang bersentuhan dengan kanak-kanak lelaki yang maut disyaki akibat difteria tiga hari lalu, dimasukkan ke dalam wad pengasingan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru, selepas didapati positif penyakit itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 25 Feb 2019 09:29AM Dikemas Kini : 25 Feb 2019 09:57PM

JOHOR BAHRU: Lima kanak-kanak yang bersentuhan dengan kanak-kanak lelaki yang maut disyaki akibat difteria tiga hari lalu, dimasukkan ke dalam wad pengasingan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru, selepas didapati positif penyakit itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr Sahruddin Jamal, berkata kelima-lima mereka adalah tiga kanak-kanak perempuan dan dua kanak-kanak lelaki berusia bawah empat tahun. Mereka termasuk seorang kakak kepada kanak-kanak lelaki berusia dua tahun sebulan yang maut.

"Kelima-lima mereka antara 52 individu menjalani ujian saringan difteria kerana mempunyai kontak dengan mangsa (kanak-kanak lelaki) dan kehadiran Corynebacterium Diphteria dikesan pada sampel calitan tekak mereka," katanya kepada para wartawan selepas melawat kelima-lima kanak-kanak berkenaan di HSA, pada Ahad (24 Feb).

Dr Sahruddin berkata kelima-lima kanak-kanak itu yang dimasukkan ke HSA sejak Sabtu (23 Feb) kini dalam keadaan stabil.

Beliau berkata tiga daripadanya dibenarkan pulang ke rumah hari ini (25 Feb) selepas diberikan rawatan selama 48 jam, manakala kakak mangsa yang tidak pernah mendapatkan sebarang suntikan imunisasi dan seorang lagi kanak-kanak lelaki masih memerlukan rawatan.

Beliau berkata selain kakak mangsa, empat kanak-kanak terbabit disaring di kawasan perumahan sama dengan mangsa dan di sebuah taska berdekatan.

Katanya, ibu kanak-kanak lelaki yang maut itu turut dirujuk kepada pakar Obstetrik dan Ginekologi kerana sedang mengandung, namun beliau didapati negatif difteria.

Dr Sahruddin berkata terdapat dua kes difteria termasuk satu kematian bayi berusia 14 bulan direkodkan tahun lalu di negeri itu, manakala enam kes dengan satu kematian direkodkan tahun ini, yang melibatkan kanak-kanak lelaki berusia dua tahun sebulan.

Sehubungan itu, beliau berkata Jabatan Kesihatan Johor ingin menasihati orang awam supaya mendapatkan perkhidmatan imunisasi daripada klinik kesihatan kerajaan ataupun swasta.

"Penyakit difteria, demam campak, beguk, ‘pertussis’ dan rubella boleh dicegah melalui imunisasi. Kegagalan memberikan imunisasi kepada kanak-kanak bukan sahaja mendedahkan kanak-kanak tersebut kepada jangkitan kuman, malah mendedahkan komuniti kepada jangkitan yang sama," katanya.

Pada Sabtu (23 Feb), Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan bahawa seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun sebulan meninggal dunia pada Khamis lalu (21 Feb), disyaki akibat jangkitan difteria.

Kanak-kanak terbabit tidak pernah menerima sebarang imunisasi sejak lahir dan mula mengalami demam, batuk dan bengkak tonsil pada 16 Februari sebelum dibawa ke unit kecemasan hospital pada 18 Februari dalam keadaan lemah.

Kanak-kanak tersebut tidak dapat diselamatkan dan meninggal dunia pada 21 Februari dengan 'jangkitan difteria teruk di samping kegagalan pelbagai organ' sebagai punca kematian.

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan