Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

5 beradik di Port Dickson yatim piatu setelah ibu bapa jadi korban COVID-19

Pesanan ibu supaya menjaga adik-adik dengan baik sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat positif COVID-19 masih terngiang-ngiang dalam ingatan Muhammad Haidir Rodzi, 23 tahun. 

Anggaran Waktu Membaca:
5 beradik di Port Dickson yatim piatu setelah ibu bapa jadi korban COVID-19

Kedua-dua orang tua Muhammad Haidir Rodzi, Rodzi Tahar (kiri) dan Nazita Idris (gambar kanan, tengah), meninggal dunia akibat COVID-19. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 08 Jun 2021 12:26PM Dikemas Kini : 08 Jun 2021 12:27PM

PORT DICKSON: Pesanan ibu supaya menjaga adik-adik dengan baik sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat positif COVID-19 masih terngiang-ngiang dalam ingatan Muhammad Haidir Rodzi, 23 tahun.

Encik Muhammad Haidir tidak menyangka pesanan menerusi panggilan video itu merupakan amanat terakhir ibu buatnya sebagai anak sulung untuk mengambil alih tanggungjawab menjaga adik-beradik setelah ibu bapanya meninggal dunia akibat COVID-19.

Satu ujian berat buat lima beradik itu apabila ayah mereka, Rodzi Tahar, 55 tahun, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Tampin pada 31 Mei lalu. Ibu mereka pula, Nazita Idris, 45 tahun, meninggal dunia enam hari kemudian di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ).

"Kami berasa sedih namun reda dengan ketentuan Allah atas pemergian ibu bapa tersayang. Perkara paling menyedihkan apabila kami sekeluarga tidak dapat mencium jenazah arwah ibu dan bapa buat kali terakhir, namun doa dan ingatan sentiasa ada buat mereka,” ungkap Encik Muhammad Haidir ketika dihubungi Bernama.

Dia bersama-sama empat adiknya iaitu Muhammad Hairie Rodzi, 20 tahun, Nurhairieka Rodzi, 18 tahun, Muhammad Haiqiel Rodzi, 13 tahun, dan Muhammad Khierzamani Rodzi, tujuh tahun, kini menetap di rumah peninggalan arwah bapa mereka di Bandar Sunggala, Port Dickson.

Berkongsi lebih lanjut, Encik Muhammad Haidir berkata bapanya mengalami demam biasa pada 26 Mei lalu. Bapa beliau mengambil keputusan untuk menjalani ujian saringan di Hospital Port Dickson pada 29 Mei sebelum disahkan positif pada keesokan harinya dan dihantar ke Hospital Tampin.

Namun, tanpa diduga, keluarga mereka menerima perkhabaran duka apabila doktor mengesahkan bapanya meninggal dunia pada 4.30 pagi keesokan harinya.

"Perkara paling menyedihkan apabila arwah bapa tidak sempat meninggalkan pesanan buat kami selepas dimasukkan ke hospital. Bapa saya mempunyai sejarah penyakit darah tinggi, kencing manis dan sakit buah pinggang manakala ibu mempunyai penyakit darah tinggi. Jadi mereka golongan berisiko.

“Kami tidak tahu punca jangkitan dapat dari mana dan tidak tahu kontak rapat dari siapa?,” ujar anak sulung itu.

Menurut Encik Muhammad Haidir, arwah ibunya melakukan ujian swab pada 30 Mei selepas mengalami demam dan batuk serta disahkan positif COVID-19 pada keesokan harinya.

Beliau menambah mereka adik-beradik juga didapati positif COVID-19 dan menjalani kuarantin di rumah, bagaimanapun tidak mengalami simptom yang teruk dan kini sudahpun sembuh daripada jangkitan itu.

Menjadikan kisah keluarganya sebagai teladan, Encik Muhammad Haidir mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi arahan yang ditetapkan pemerintah dan jangan memandang remeh terhadap penularan wabak COVID-19 yang boleh meragut nyawa insan tersayang. 

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan