Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

48 maut, ratusan cedera dalam gempa, tsunami di Palu

Angka kematian akibat gempa bumi dan tsunami di Palu, Sulawesi semalam (28 Sep), mencecah sekurang-kurangnya 48 orang, menurut pengumuman rasmi pertama yang dibuat agensi bencana Indonesia pada Sabtu (29 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
48 maut, ratusan cedera dalam gempa, tsunami di Palu

Keadaan di bandar Palu di pulau Sulawesi selepas dilanda tsunami. (Gambar: Ola Gondronk/AFP)

Diterbitkan : 29 Sep 2018 02:56PM Dikemas Kini : 29 Sep 2018 03:09PM

MAKASSAR: Angka kematian akibat gempa bumi dan tsunami di Palu, Sulawesi semalam (28 Sep), mencecah sekurang-kurangnya 48 orang, menurut pengumuman rasmi pertama yang dibuat agensi bencana Indonesia pada Sabtu (29 Sep).

Agensi itu menambah bahawa 356 lagi mangsa cedera susulan ombak besar setinggi 1.5 meter melanda bandar Palu, yang mempunyai sekitar 350,000 penduduk.

"Sebahagian besar mayat mangsa" ditemui di kawasan pantai bandar Palu, kata Sutopo Purwo Nugroho, jucucakap agensi berkenaan.

"Kami masih belum menerima laporan menyeluruh kerana talian hubungan masih lagi terputus. Sebilangan besar mayat mangsa ditemui di kawasan pantai akibat tsunami tetapi jumlah yang tepat masih belum diketahui," kata beliau.

Bencana alam itu meragut "banyak jiwa", kata Muhammad Syaugi, ketua agensi mencari dan menyelamat Indonesia, kepada AFP pada awal Sabtu (29 Sep).

Menurut Encik Muhammad Syaugi, para kakitangan tempatan menemui banyak mayat mangsa.

"Banyak mayat mangsa, tetapi kami tidak tahu jumlah tepat. Kami jumpa banyak mayat di Palu pada pukul 2.00 pagi tadi," kata beliau.

Gempa bumi berukuran 7.5 pada skala Richter yang menggegarkan Palu semalam (28 Sep) adalah lebih kuat berbanding beberapa gempa yang meragut nyawa beratus-ratus orang di pulau Lombok di Indonesia pada Julai dan Ogos lalu.

Sementara itu, pengarah sebuah hospital memberitahu media tempatan bahawa 30 mayat mangsa dan beberapa orang yang cedera dihantar ke hospital berkenaan.

"Ada 30 mayat mangsa di hospital kami. Ada juga 12 kes yang memerlukan pembedahan atau khidmat pakar manakala sembilan mengalami trauma pada bahagian kepala mereka," kata Komang Adi Sujendra kepada Metro TV.

Para penduduk yang tinggal beratus-ratus kilometer dari pusat gempa itu dilaporkan turut merasakan gegaran kuat yang berlaku setelah satu gempa kecil turut mengorbankan sekurang-kurangnya seorang penduduk.

Gambar kakitangan perubatan membantu para pesakit di luar hospital di bandar Palu. (Gambar: Muhammad Rifki/AFP)

Gempa bumi kuat berukuran 7.7 skala Richter di Sulawesi berlaku pada kedalaman 10 kilometer sekitar 5.00 petang waktu Indonesia Timur, menurut Jabatan Geologi Amerika Syarikat. Gempa bumi seumpama itu dipercayai menyebabkan lebih banyak kemusnahan.

Pasukan-pasukan mencari dan menyelamat sudahpun dikerahkan ke kawasan-kawasan terpencil, kata Encik Nugroho.

LAPANGAN TERBANG DITUTUP

Lapangan terbang utama di Palu ditutup selepas dilanda tsunami dan ia dijangka terus ditutup selama sekurang-kurangnya 24 jam, menyulitkan sebarang usaha untuk mengerahkan bantuan kecemasan.

Gempa bumi yang berlaku pada Jumaat (28 Sep) berpusat sekitar 78 kilometer dari bahagian utara Palu, di ibu kota wilayah Sulawesi Tengah itu. Gegaran bagaimanapun dapat dirasai di bahagian selatan pulau itu di bandar Makassar dan juga di pulau kejiranan, Kalimantan.

Beberapa gegaran susulan, berlaku sejurus sebelum solat maghrib, ketika masjid-masjid dibanjiri jemaah.

Indonesia dilanda beberapa gempa dahsyat, termasuk gempa bumi berukuran 9.1 pada skala Richer di Sumatera pada 2004.

Gempa bumi itu mencetuskan tsunami yang mengorbankan 220,000 nyawa di merata rantau ini, termasuk 168,000 orang di Indonesia. 

Sumber : Agensi berita/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan