Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

69 maut kebakaran di Dhaka

Sekurang-kurangnya 69 orang maut akibat kebakaran yang berlaku di beberapa bangunan apartmen di ibu kota Bangladesh, menurut seorang pegawai bomba.

Anggaran Waktu Membaca:
69 maut kebakaran di Dhaka

Kebakaran di bangunan apartmen, yang juga digunakan sebagai sebuah gudang kimia. (Gambar-Gambar: Mohammad Ponir Hossain/Reuters)

Diterbitkan : 21 Feb 2019 09:37AM Dikemas Kini : 21 Feb 2019 03:35PM

DHAKA: Sekurang-kurangnya 69 orang maut akibat kebakaran yang berlaku di beberapa bangunan apartmen di ibu kota Bangladesh, menurut seorang pegawai bomba.

Beliau berkata bangunan apartmen, yang terletak di kawasan lama di Dhaka, itu juga digunakan sebagai sebuah gudang kimia.

Berpuluh-puluh penghuni terperangkap di dalam bangunan-bangunan itu dan tidak dapat melarikan diri ke laluan-laluan sempit yang penuh sesak, sedang bahan-bahan kimia yang mudah terbakar, penyembur badan dan butir-butir plastik terbakar.

Mahfuz Riben, seorang pegawai bilik kawalan bomba, memberitahu agensi berita AFP bahawa 69 orang maut akibat kebakaran itu manakala ketua jabatan bomba Bangladesh, Ali Ahmed, berkata bahawa angka korban akibat kebakaran tersebut mungkin terus meningkat.

Encik Ahmed berkata kebakaran di daerah Chawkbazar di Dhaka mungkin berpunca daripada sebuah silinder gas sebelum api marak ke merata bangunan berkenaan, termasuk di mana kimia-kimia mudah terbakar disimpan.

"Terdapat kesesakan jalan ketika kebakaran itu berlaku. Oleh itu, orang ramai tidak dapat melarikan diri," katanya, sambil menyifatkan daerah bandar itu sebagai kawasan dengan laluan-laluan yang sempit.

Seorang lagi pegawai bomba memberitahu para wartawan bahawa kebakaran yang berlaku pada sekitar 10.40 malam, Rabu (20 Feb) sudahpun 'dikawal', namun ia belum lagi berjaya dipadamkan meskipun melibatkan usaha lebih 200 anggota bomba.

"Ia akan mengambil masa. Ia bukanlah seperti kebakaran lain," katanya sambil menambah bahawa kebakaran itu menjadi bertambah buruk disebabkan oleh bahan-bahan kimia "mudah terbakar" yang disimpan di dalam bangunan tersebut.

Sumber : AFP/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan