Images
  • forest fire indo
    Gambar fail kebakaran hutan di Sumatera Selatan pada 4 Ogos 2017. (Gambar: Antara Foto/Nova Wahyudi/ melalui Reuters)

4 wilayah Indonesia keluarkan amaran kebakaran hutan, darat

JAKARTA: Empat wilayah Indonesia mengeluarkan amaran di tengah-tengah ancaman kebakaran hutan dan darat terus meningkat pada awal musim kering di negara tersebut.

Wilayah-wilayah yang dimaksudkan adalah Sumatra Selatan, Riau, Kalimantan Barat dan Kalimantan Tengah - kesemuanya terdedah kepada kebakaran hutan pada tahun-tahun kebelakangan ini.

Agensi pengurusan bencana Indonesia menyatakan gabenor-gabenor wilayah berkenaan sudah mengeluarkan amaran berdasarkan bilangan tompok panas kebakaran dan saranan agensi tersebut.

"Dengan status amaran bencana, wilayah-wilayah akan mempunyai akses lebih baik bagi peribadi, logistik, pendanaan dan sokongan daripada pemerintah untuk menangani kebakaran hutan," kata jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan, Sutopo Purwo Nugroho, dalam kenyataannya hari ini (21 Feb).

Agensi itu menyatakan keseluruhannya terdapat 90 tompok panas di merata Indonesia dalam tempoh 24 jam lalu iaitu sehingga jam 7.00 pagi tadi (21 Feb), seperti yang dikesan satelit-satelit Terra dan Aqua. Kebanyakan tompok panas terletak di Kalimantan Barat.

Awal bulan ini, Presiden Joko Widodo atau Jokowi, menggesa pihak-pihak berkuasa di negaranya supaya meneruskan usaha mereka bagi mencegah kebakaran hutan untuk memastikan Sukan Asia yang bakal diadakan di Indonesia, boleh berjalan lancar tanpa gangguan jerebu.

Encik Jokowi juga berjanji dengan Perdana Menteri Singapura dan Malaysia bahawa tahun 2018 akan menjadi tahun bebas jerebu. 

- CNA/AQ/aq

Top