Images
  • mat rempit
    Gambar fail: BERNAMA

4 'Superman' jalan raya ditangkap polis

KUALA LUMPUR: Tiga remaja antara empat orang ditahan polis kerana menunggang motosikal dengan aksi ‘Superman’ dalam Ops Samseng Jalanan di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) di sini, awal hari ini (6 Jan).

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Zulkefly Yahya berkata tiga remaja lelaki berusia antara 16 dan 17 tahun itu ditahan dalam operasi yang dijalankan dari pukul 1.30 pagi hingga 4.30 pagi.

“Seorang daripada mereka adalah pelajar tingkatan lima di sebuah sekolah menengah di Kuala Lumpur manakala dua lagi tidak bersekolah. Ketiga-tiga mereka tidak mempunyai lesen memandu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata seorang lagi lelaki yang ditahan berusia 30 tahun.

Keempat-empat mereka bukan sahaja menunggang motosikal secara merbahaya malah turut mengubah suai sistem enjin untuk menambah kelajuan, mengubah suai ekzos dan menggunakan tayar motosikal yang kecil.

"Selain itu, mereka juga menggunakan nombor pendaftaran kenderaan yang ‘fancy’ dan tidak mengikut skala," katanya.

Beliau berkata kesemua mereka dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara bahaya. 

- BERNAMA/TQ/tq

Top