Images
  • canada muslim attack
    Para pegawai polis mencari bukti di tempat insiden serangan maut di London, Ontario, pada 7 Jun 2021. (Gambar: Geoff Robins/The Canadian Press menerusi AP)

4 sekeluarga Muslim maut dirempuh trak dalam serangan 'terancang' di Kanada

OTTAWA: Empat sekeluarga Muslim maut apabila dirempuh sebuah trak pikap di selatan wilayah Ontario, Kanada, dalam kejadian yang menurut polis pada Isnin (7 Jun) disifatkan sebagai serangan 'terancang'.

Suspek berusia 20 tahun yang memakai rompi "seperti baju perisai" meninggalkan tempat kejadian sejurus serangan itu pada malam Ahad.

Detektif Superintenden Paul Waight berkata suspek itu kemudian ditahan di sebuah pusat beli-belah yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari persimpangan tempat kejadian di London, Ontario.

"Terdapat bukti menunjukkan ia adalah suatu tindakan yang diatur dan terancang yang didorong oleh kebencian. Ia dipercayai mangsa-mangsa ini menjadi sasaran kerana mereka adalah Muslim," kata beliau dalam satu sidang media.

Nama-nama mangsa tidak didedahkan namun ia melibatkan seorang wanita warga emas berusia 74 tahun, lelaki 46 tahun, wanita 44 tahun dan remaja perempuan berumur 15 tahun - meliputi tiga generasi keluarga berkenaan, menurut Datuk Bandar London, Ed Holder.

Akibat kejadian itu, seorang budak lelaki berusia sembilan tahun juga dikejarkan ke hospital dan dilaporkan beransur pulih.

"Biar saya katakan dengan jelas, ini adalah satu tindakan pembunuhan massa terhadap orang Islam dan penduduk London, yang berakar daripada kebencian terpendam," ujar Holder.

Suspek yang dikenal pasti sebagai Nathaniel Veltman kini berdepan dengan empat tuduhan membunuh dan satu tuduhan cubaan membunuh.

Waight berkata pihak berkuasa tempatan juga sedang berhubung dengan polis persekutuan dan peguam negara mengenai penambahan "kemungkinan tuduhan pengganasan".

Menurut polis, kira-kira jam 8.40 malam Ahad lalu, keluarga lima beranak itu sedang berjalan bersama-sama di kaki lima apabila sebuah trak pikap "menaiki susur jalan dan merempuh" mereka ketika mereka menunggu untuk menyeberangi persimpangan.

Waight mendedahkan sedikit butiran siasatan tetapi menarik perhatian bahawa catatan-catatan media sosial suspek berkenaan juga dikaji oleh polis.  

- AFP/FZ/fz

Top