Images
  • judge hammer
    Gambar hiasan. (Gambar: AFP/Joe Raedle)

4 remaja dipenjara, rogol gadis 13 tahun

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi semalam (30 Nov) menambah hukuman penjara terhadap empat remaja berusia antara 16 hingga 17 tahun daripada lima hari kepada masing-masing lima tahun dan 10 tahun atas kesalahan merogol berkumpulan terhadap seorang gadis berusia 13 tahun, tahun lepas.

Tiga daripada remaja itu dihukum penjara 10 tahun manakala seorang lagi lima tahun.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohamad Shariff Abu Samah membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan pendakwaan yang tidak berpuas hati terhadap hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret Kanak-Kanak terhadap empat remaja lelaki itu pada 20 Mac 2017.

Mahkamah memerintahkan hukuman itu berkuat kuasa bermula semalam (30 Nov). Mereka dihantar ke Penjara Kajang.

Selepas hukuman dijatuhkan, kesemua remaja lelaki yang berada di dalam kandang tertuduh dan ahli keluarga mereka yang berada di tempat duduk awam kelihatan menangis.

Datuk Shariff berkata semua pengakuan salah yang dibuat oleh remaja itu sebelum ini adalah pengakuan tanpa syarat dan sah di sisi undang-undang.

Dalam penghakimannya, hakim itu menyifatkan perbuatan remaja itu sangat memalukan dan jijik sehingga menimbulkan kesan trauma kepada mangsa sepanjang hidupnya.

“Mahkamah bersimpati kepada anda semua kerana anda masih muda, tetapi dalam kes ini mahkamah perlu mengambil kira faktor kepentingan awam dan mahkamah lebih bersimpati kepada mangsa. Masyarakat turut mengutuk tindakan yang dilakukan anda, saya harap anda semua bertaubat,” katanya.

Pada 20 Mac 2017, Mahkamah Majistret Kanak-Kanak menjatuhkan hukuman penjara lima hari terhadap kempat-empat remaja itu selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.

Tiga remaja itu didakwa bersama-sama merogol berkumpulan terhadap gadis berusia 13 tahun sembilan bulan di kawasan semak di Jalan Prima Pelangi 5, Sentul, pada jam 4.00 pagi, 7 Dis 2016.

Mereka didakwa di bawah undang-undang yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun penjara, jika sabit kesalahan.

Seorang lagi rakan mereka yang melakukan seks luar tabii terhadap mangsa yang sama di tempat dan masa yang sama didakwa mengikut Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun atau maksimum 20 tahun dan dikenakan sebat, jika sabit kesalahan. 

- BERNAMA/AQ/aq

Top