Images
  • accident red crescent authority
    Gambar: Saudi Red Cresent Authority

4 maut, 48 cedera susuli nahas bas di wilayah Madinah

RIYADH: Satu kemalangan antara sebuah bas dengan trak di Arab Saudi meragut nyawa empat mangsa, menurut pihak berkuasa hari ini (26 Nov).

Bas terbabit, yang membawa 45 penumpang bertembung dengan sebuah trak di lebuh raya Al-Hjirah di wilayah Madinah.

Kemalangan itu berlaku berdekatan bandar Al-Yutamah, sekitar 90 kilometer dari bandar Madinah, lapor Arab News. 

Sesetengah mereka yang mengalami kecederaan dirawat di tempat kejadian sebelum dibawa ke hospital-hospital tempatan.

Operasi berbilang wilayah untuk menguruskan insiden tersebut melibatkan lebih 20 ambulans dan unit jagaan lanjut dari Madinah, disokong oleh lapan unit dari Makkah dan lagi tiga dari Qassim, menurut Encik Khaled Al-Sehali, seorang jurucakap Penguasa Sabit Merah Saudi.

Akhbar Okaz melaporkan bahawa ambulans dihubungi pada pukul 11.27 malam pada Khamis (25 Nov) tetapi pihak berkuasa belum mengesahkan pukul berapa sebenarnya kemalangan berlaku.

Laluan sibuk itu, yang menjalani kerja-kerja pembaikan lebih dua tahun lalu adalah salah satu hubungan darat utama antara wilayah Makkah dengan Madinah.

Para jemaah dan penganut lain biasa menggunakan laluan itu untuk menziarahi Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah.

Gambar-gambar tentang kejadian itu menunjukkan bas Bonluck merah dengan kerosakan teruk pada bahagian depan kanan dan tepi, cermin depan pula remuk.

Pada 2019, 35 jemaah maut di lebuh raya yang sama berdekatan kampung Al-Akhal selepas sebuah bas bertembung dengan sebuah kenderaan pengangkut. Para penumpang bas merupakan golongan ekpatriat dari Arab Saudi dan merupakan warga Asia dan Arab.

Arab Saudi mencatat 12,317 kematian disebabkan kemalangan trafik pada 2019, menurut anggaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), menurut laporan Arab News. 

- Agensi berita/SM/sm

Top