Images
  • hijab women generic
    Gambar hiasan. (Gambar: Manan Vatsyayana/ AFP)

4 hotel Johor 'dinasihatkan' agar semak semula larangan bertudung

ISKANDAR PUTERI: Empat hotel dinasihatkan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Johor kerana didapati mengenakan larangan pemakaian tudung terhadap kakitangan wanitanya yang ditugaskan di bahagian perkhidmatan pelanggan.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia Johor R. Vidyanathan berkata nasihat dikeluarkan susulan pemeriksaan berkanun ke atas 15 buah hotel bertaraf tiga hingga lima bintang di sekitar Johor Bahru pada 24 November lepas.

“Hasil dapatan menemukan 11 hotel membenarkan pemakaian tudung terhadap kakitangan di bahagian perkhidmatan pelanggan, manakala empat hotel selebihnya mengenakan larangan pemakaian tudung.

“Akibatnya, majikan ini diberikan nasihat sewajarnya dan jika ingkar, notis pematuhan akan dikeluarkan kepada majikan-majikan berkenaan agar isu ini tidak berlarutan pada masa datang,” kata Encik Vidyanathan di persidangan Dewan Undangan Negeri Johor semalam (30 Nov).

Encik Vidyanathan berkata dasar hotel yang tidak membenarkan pekerja wanita Islam memakai tudung jelas bertentangan dengan undang-undang yang memperuntukkan semua orang adalah sama rata dan tidak boleh ada diskriminasi terhadap warga negara semata-mata atas alasan berbeza agama,bangsa, keturunan, tempat lahir dan jantina.

Beliau menambah, perlembagaan juga memperuntukkan seseorang berhak untuk bebas menganut dan mengamalkan agamanya.

“Sekiranya terdapat mana-mana pekerja wanita Islam diberhentikan kerja atas sebab memakai tudung, mereka boleh memfailkan kes dalam tempoh 60 hari dari tarikh diberhentikan,” katanya. 

- BERNAMA/AQ/aq

Top