Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

4 anggota polis Johor gagal ujian saringan dadah

Seramai empat anggota dan seorang penjawat awam Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor ditahan selepas gagal dalam ujian saringan dadah besar-besaran yang dilancarkan sejak 31 Oktober lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
4 anggota polis Johor gagal ujian saringan dadah

(Gambar: Polis Diraja Malaysia/Facebook)

Diterbitkan : 11 Nov 2017 03:02PM Dikemas Kini : 11 Nov 2017 03:06PM

JOHOR BAHRU: Seramai empat anggota dan seorang penjawat awam Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor ditahan selepas gagal dalam ujian saringan dadah besar-besaran yang dilancarkan sejak 31 Oktober lalu.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata ujian saringan dilakukan bagi memastikan integriti setiap anggota dan kakitangan PDRM dapat terus diperkukuh.

"Terdapat 10,370 warga PDRM Johor membabitkan pegawai, anggota dan kakitangan yang terlibat dalam ujian ini dan sehingga kini kita berjaya memastikan 6,221 orang atau 60 peratus daripada jumlah berkenaan bebas daripada dadah.

"Kesemua yang ditahan berusia antara 25 dengan 35 tahun dengan empat anggota tersebut didapati positif dadah jenis metamfetamina manakala kakitangan awam berkenaan positif dadah jenis opium," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Ceria Bersama PDRM Care 2017 hari ini (11 Nov).

Menurut Datuk Mohd Khalil, saringan sedang dilakukan terhadap baki 4,149 anggota PDRM Johor.

"Tindakan tegas perlu diambil dalam usaha memastikan 100 peratus anggota PDRM Johor bebas daripada sebarang penglibatan dalam dadah. Kita juga mahu memberikan jaminan untuk memberikan perkhidmatan 100 peratus kualiti kepada masyarakat.

"Tidak ada ruang kepada mereka yang terlibat dengan dadah dalam PDRM Johor, saya tidak akan berkompromi. Setiap anggota dan pegawai harus sedar bahawa mereka perlu memberikan perkhidmatan terbaik yang diamanahkan oleh masyarakat sebagaimana yang mereka lafazkan dalam ikrar," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan pihaknya menahan dua kumpulan belia melibatkan 13 lelaki tempatan berusia antara 15 dengan 44 tahun pada 9 Nov lalu selepas disyaki terlibat dalam pergaduhan berkumpulan di sekitar Batu Pahat.

"Hasil siasatan awal terhadap kesemua mereka mendapati pergaduhan berpunca daripada perselisihan faham. Pergaduhan berkenaan mengakibatkan kerosakan dua buah kenderaan selain kecederaan.

"Pihak polis Johor tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana aktiviti samseng dan kesemua suspek kita tahan reman selama empat hari bermula 10 Nov sehingga 13 Nov ini untuk membantu siasatan," katanya dengan menambah bahawa pihaknya sedang mengesan sama ada masih terdapat anggota kumpulan tersebut yang belum ditahan. 

Sumber : Bernama/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan