Images
  • china tq
    Orang ramai membuat tunjuk perasaan ke atas layanan China terhadap warga Uighur, di Vancouver, British Columbia, Canada, pada 8 Mei 2019. (Gambar; Lindsey Wasson/REUTERS)

37 negara pertahan China di PBB berhubung isu muslim Xinjiang

GENEVA: Wakil 37 negara anggota ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengeluarkan satu surat pada Jumaat (12 Jul) mempertahankan layanan China terhadap kaum Uighur dan minoriti lain di wilayah Xinjiang. Surat itu sebagai respons kepada kecaman lebih 20 negara khususnya negara Barat awal minggu ini.

Wakil-wakil dari Kesatuan Eropah (EU) serta Australia, Kanada, Jepun dan New Zealand, awal sebelum ini menandatangani kenyataan menyelar tingkah laku China di Xinjiang, di mana sejuta orang - kebanyakannya warga Uighur - dilaporkan dalam kem-kem tahanan.

Pada Jumaat, sekumpulan pelbagai negara - termasuk Rusia, Arab Saudi, Nigeria, Algeria dan Korea Utara - menjawab di pihak Beijing.

"Kami memuji pencapaian hebat China dalam bidang hak asasi manusia," menurut surat yang turut ditandatangani Myanmar, Filipina, Zimbabwe dan negara-negara lain.

"Kami akur pengganasan, sentimen pemisah dan pelampau agama menyebabkan kerosakan banyak kepada pelbagai kaum etnik di Xinjiang," menurut surat itu.

Kumpulan-kumpulan hak asasi dan bekas tahanan menyifatkan pusat-pusat di Xinjiang sebagai "kem konsentrasi" di mana kebanyakannya Muslim Uighur dan etnik minoriti lain diasimilasi secara paksa ke dalam masyarakat etnik majoriti Han di China.

Selaras dengan belaan China bagi kem-kem tersebut, surat yang diterbitkan pada Jumaat merujuk kepada kem-kem tersebut sebagai "pusat pendidikan dan latihan perjuruan".

"Kini keselamatan sudah dipulihkan di Xinjiang," tambah surat itu.

Kumpulan wakil itu meminta agar surat tersebut dirakam sebagai dokumen rasmi Majlis Hak Asasi Manusia, yang menggulung sesi ke-41 di Geneva pada Jumaat.

Para wakil negara Barat turut membuat permohonan sama bagi surat yang dikeluarkan sebelum ini.

Beijing pada Khamis membidas surat yang awal itu sebagai bersifat "tidak benar".

Pengutusan surat terbuka saling balas membalas sedemikian jarang berlaku di majlis tertinggi bagi hak asasi di PBB itu, di mana negara-negara anggota lazimnya merunding resolusi rasmi dalam sesi tertutup.

Selepas pada awalnya cuba menafikan kewujudan pusat-pusat tersebut, Beijing baru-baru ini mengadakan kempen perhubungan awam untuk membidas dakwaan masyarakat global terhadap pusat-pusat di Xinjiang.

Ketua hak asasi PBB Michelle Bachelet sudahpun membuat permohonan mengadakan misi pencarian fakta ke Xinjiang.

Meskipun Beijing mengalu-alukan lawatannya, pejabat hak asasi PBB menekankan lawatan perlu disertakan dengan syarat-syarat tertentu - termasuk akses tanpa had ke lokasi-lokasi utama.

- AFP/TQ/fz

Top