Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

35 pegawai kanan kerajaan M'sia negatif COVID-19 dikuarantin

Kementerian Kesihatan mengesahkan seramai 35 pegawai kanan kerajaan diarah menjalani kuarantin diri selama 14 hari selepas menghadiri mesyuarat pasca Kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, di Jabatan Perdana Menteri pada Rabu lalu (20 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
35 pegawai kanan kerajaan M'sia negatif COVID-19 dikuarantin

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 23 May 2020 10:33PM Dikemas Kini : 23 May 2020 10:36PM

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mengesahkan seramai 35 pegawai kanan kerajaan diarah menjalani kuarantin diri selama 14 hari selepas menghadiri mesyuarat pasca Kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, di Jabatan Perdana Menteri pada Rabu lalu (20 Mei).

Ini berikutan kumpulan 35 pegawai itu menghadiri mesyuarat bersama seorang yang dikesan positif COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ujian calitan pertama ke atas 35 pegawai berkenaan didapati negatif tetapi perlu menjalani kuarantin sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Kami telah menasihatkan mereka supaya menjalani kuarantin 14 hari di rumah masing-masing dan ujian calitan kedua akan dibuat pada hari ke-13. Sekiranya keputusan negatif, mereka dibenarkan bertugas semula,”  katanya dalam sidang media harian COVID-19 hari ini (25 Mei).

Pada Jumaat (22 Mei), kenyataan Pejabat Perdana Menteri menyebut Encik Muhyiddin menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari mulai petang semalam susulan kehadiriannya dalam mesyuarat pasca Kabinet itu.

Dr Noor Hisham berkata pegawai yang didapati positif COVID-19 dimasukkan ke hospital untuk rawatan dan pengasingan. 

Mengenai wanita hamil di Kelantan yang disahkan positif COVID-19 selepas melakukan perjalanan rentas negeri dari Ampang, Selangor, baru-baru ini, Dr Noor Hisham memaklumkan bahawa 26 daripada 30 kontak rapat di Kelantan yang menjalani saringan COVID-19 didapati negatif.

“(Baki) Empat kontak rapat di Selangor telah dikenal pasti, satu negatif dan tiga masih menunggu keputusan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata walaupun keputusan ujian saringan COVID-19 mereka adalah negatif, namun mereka perlu menjalani proses kuarantin selama 14 hari.

Pada Rabu lalu, Kementerian Kesihatan mengesahkan bahawa wanita hamil 35 minggu itu disahkan positif COVID-19 selepas melakukan rutin pemeriksaan di klinik kesihatan ibu dan anak di Kuala Krai, Kelantan.

Wanita tersebut pulang ke kampung halamannya pada 15 Mei lalu untuk bersalin anak kedua.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan