Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

33 maut selepas lelaki bakar studio animasi Kyoto

Seramai 33 orang maut selepas seorang lelaki berusia 41 tahun dipercayai memecah masuk ke sebuah studio animasi di Kyoto pada Khamis (18 Jul) lalu membakarnya dengan menyemburkan sejenis cecair mudah terbakar, kata para pegawai polis dan penyelamat tempatan.

Anggaran Waktu Membaca:
33 maut selepas lelaki bakar studio animasi Kyoto

(Gambar: Kyodo News menerusi AP)

Diterbitkan : 19 Jul 2019 09:47AM Dikemas Kini : 19 Jul 2019 09:56AM

KYOTO: Seramai 33 orang maut selepas seorang lelaki berusia 41 tahun dipercayai memecah masuk ke sebuah studio animasi di Kyoto pada Khamis (18 Jul) lalu membakarnya dengan menyemburkan sejenis cecair mudah terbakar, kata para pegawai polis dan penyelamat tempatan.

Lagi 36 yang lain dikejarkan ke hospital kerana mengalami kecederaan akibat kebakaran yang berlaku di studio Kyoto Animation Co., yang terletak di bandar Fushimi Ward pada sekitar 10.35 pagi.

Kira-kira 70 orang dipercayai sedang bertugas di dalam bangunan setinggi tiga tingkat seluas 690 meter persegi, pada masa itu.

Menurut polis, lelaki yang belum dikenal pasti itu didengar menjerit "Mati" apabila dia membakar studio berkenaan yang terletak di sebuah kawasan kediaman.

Lelaki itu, yang ditangkap sejurus selepas insiden tersebut, kini sedang dirawat di hospital kerana mengalami lecur akibat kebakaran di bahagian muka dan dadanya, menurut polis.

Polis menyatakan, lelaki itu memberitahu mereka bahawa dia telah melemparkan minyak.

Beberapa bilah pisau dan tukul juga ditemui di sebuah tempat yang mungkin dimiliki oleh lelaki itu, menurut polis.

Angka korban akibat kebakaran itu adalah antara yang tertinggi di Jepun dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Para pakar keselamatan bangunan dan para pegawai jabatan bomba berkata api dan asap kebakaran mungkin merebak dengan cepat kerana tangga berpilin yang menghubungkan kesemua tiga tingkat bangunan studio itu.

Orang ramai yang berada berhampiran studio berkenaan pada masa itu berkata mereka terdengar bunyi letupan beberapa kali dan ternampak kepulan asap hitam di luar bangunan tersebut.

Seorang wanita berusia 61 tahun pula berkata beliau ternampak suspek terbaring di lantai pada sekitar 10.35 pagi selepas beliau terdengar bunyi loceng pintu dan membuka pintu.

Suspek memberitahu para pegawai polis bahawa dia mencetuskan kebakaran itu dengan menyemburkan sejenis cecair serta menggunakan pemetik api, kata wanita berkenaan.

Polis belum lagi mendedahkan motifnya.

Syarikat itu menyatakan, pihaknya menerima ancaman sebelum ini dan pernah membuat aduan kepada polis.

Agensi Pengurusan Kebakaran dan Bencana menyatakan, ia suduahpun mengerahkan para pegawai ke tapak kejadian bagi menyiasat struktur bangunan itu dan mengapa kebakaran itu menyebabkan jumlah besar kematian dan kecederaan. 

Sumber : Agensi berita/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan