Images
  • malaysia population crowd
    Gambar hiasan: BERNAMA

32.6 juta penduduk di Malaysia, dengan bilangan lelaki melebihi wanita

PUTRAJAYA: Penduduk di Malaysia yang dicatatkan pada suku tahun pertama 2019 dianggarkan berjumlah 32.66 juta, dengan penduduk lelaki melebihi wanita, menurut Perangkaan Demografi bagi suku tahun pertama 2019.

Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata penduduk lelaki yang dicatatkan dalam tempoh itu berjumlah 16.86 juta, berbanding penduduk wanita seramai 15.80 juta, lapor Bernama.

"Nisbah jantina adalah 107 lelaki bagi setiap 100 perempuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini (15 Mei) mengenai laporan perangkaan demografi itu.

Beliau berkata daripada 32.66 juta penduduk itu, sebanyak 29.31 juta adalah penduduk rakyat manakala 3.35 juta bukan rakyat.

Selangor mencatatkan komposisi penduduk tertinggi iaitu 6.54 juta orang manakala Putrajaya mencatatkan komposisi penduduk terendah iaitu 92,640 orang, katanya.

Jumlah penduduk yang dicatatkan pada suku pertama 2019 itu meningkat 1.1 peratus berbanding 32.29 juta pada suku pertama 2018, katanya.

Bernama menukil Dr Mohd Uzir sebagai berkata bahawa bilangan penduduk berumur bawah 14 tahun (umur muda) turun dari 7.71 juta pada suku pertama 2018 kepada 7.69 juta suku pertama tahun ini, manakala penduduk berumur 15 hingga 64 tahun (umur bekerja) pula meningkat dari 22.51 juta kepada 22.80 juta bagi tempoh yang sama.

Bilangan penduduk umur tua (65 tahun dan lebih) pula meningkat dari 2.07 juta kepada 2.17 juta bagi tempoh yang sama, menurut Dr Mohd Uzir dalam laporan Bernama.

"Trend yang ditunjukkan ini adalah selari dengan negara-negara maju iaitu negara ke arah penuaan penduduk," jelasnya.

Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata sebanyak 116,850 kelahiran hidup direkodkan pada suku pertama 2019 manakala sebanyak 42,647 kematian direkodkan dalam tempoh itu.

- BERNAMA/ZM/zm

Top