Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

30 maut dalam serangan udara Syria

Sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh manakala berpuluh-puluh lagi cedera dalam serangan udara pimpinan Amerika Syarikat yang dilancarkan semalaman di timur wilayah Deir al-Zour, Syria.

Anggaran Waktu Membaca:
30 maut dalam serangan udara Syria

Bendera Syria dikibarkan di tengah-tengah bangunan runtuh. (Gambar: Mohamad Abazeed/ AFP)

Diterbitkan : 14 Jul 2018 07:38AM Dikemas Kini : 14 Jul 2018 07:42AM

DAMSYIK: Sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh manakala berpuluh-puluh lagi cedera dalam serangan udara pimpinan Amerika Syarikat yang dilancarkan semalaman di timur wilayah Deir al-Zour, Syria.

Memetik agensi berita rasmi SANA, agensi berita China Xinhua melaporkan serangan udara itu menyasarkan kawasan kediaman di bandar Baghour Foqani dan Souseh di timur tebing Sungai Eufrat berhampiran bandar Al-Bukamal yang terletak di timur Deir al-Zour semalam (13 Jul).

Angka korban dijangka meningkat kerana ramai mangsa yang cedera kini dalam keadaan kritikal.

Berpuluh-puluh kediaman musnah, lapor SANA yang menuduh gabungan tentera pimpinan Amerika itu menyasarkan penduduk tempatan yang enggan menerima kemasukan Angkatan Demokratik Syria yang disokong Amerika.

Bandar terbabit terletak di sebuah kawasan kecil di timur Deir al-Zour yang dikawal oleh kumpulan ISIS.

Pemerintah Syria berulang kali menuduh Amerika Syarikat menyasarkan orang awam di Syria, dan menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu supaya menghentikan operasi ketenteraan gabungan itu di Syria.

Gabungan tentera pimpinan Amerika beroperasi di Syria sejak 2014, menyokong kumpulan diterajui puak Kurdi di utara Syria dalam memerangi ISIS.

Pemerintah Syria menegaskan matlamat sebenar gabungan itu adalah untuk memanjangkan krisis di Syria dengan menggunakan ISIS sebagai alasan untuk terus mewujudkan ketidakstabilan di negara tersebut. 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan