Images
  • John Bolton
    Penasihat Keselamatan Negara Amerika Syarikat John Bolton, bersama Presiden Donald Trump (Gambar: REUTERS)

3 tokoh 'agresif' ini yang pengaruhi dasar Trump mengenai Iran

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump melaksanakan dasar-dasar yang 'keras' terhadap Iran dan sebilangan penasihat yang rapat dengannya menggesa beliau agar terus meningkatkan lagi tekanan ke atas Tehran.

Di bawah kepimpinan Trump sejauh ini, Amerika Syarikat sudah menarik diri daripada satu perjanjian nuklear antarabangsa, mengenakan sekatan terhadap Iran dan memasukkan tentera elit Iran, Tentera Revolusi Iran, ke dalam senarai pertubuhan pengganas.

Selagi jawatan Setiausaha Pertahanan belum dipenuhi secara tetap sejak peletakan jawatan mengejut Encik James Mattis, para penasihat dan penggubal undang-undang yang agresif mungkin lebih mempengaruhi keputusan-keputusan Encik Trump. Beliau sebelum ini menentang peperangan membabitkan Amerika Syarikat yang menurutnya "tiada penghujungnya".

Berikut ialah pemain-pemain utama yang dianggap 'agresif' itu:

JOHN BOLTON - "PENGHASUT PEPERANGAN"?

Penasihat keselamatan negara Encik Trump merupakan dalang pengaruh dasar agresif, dan seorang pendokong dasar perubahan rejim di Cuba, Iraq, Korea Utara, Venezuela dan kini Iran.

Encik Bolton mengeluarkan amaran tegas kepada Iran pada 2018 dengan berkata "kami akan memburu kamu" jika negara itu tidak membendung tindakan agresifnya. Malah Kementerian Ehwal Luar Iran menyifatkannya sebagai "penghasut peperangan".


(Gambar: AFP/Brendan Smialowski)

Encik Bolton memuji keputusan Encik Trump untuk menarik diri daripada perjanjian nuklear dengan Iran. Para pengamat malah percaya bahawa Encik Bolton sudah lama menyokong pengeboman Iran.

Encik Bolton yang berusia 70 tahun pernah berkata Iran "sudah hampir tentu" mendalangi serangan ke atas empat kapal dekat Amiriah Arab Bersatu (UAE). Beliau begitu tertumpu terhadap penyingkiran ancaman Iran sehinggakan Encik Trump sendiri perlu mengawal Encik Bolton.

MIKE POMPEO - PENYOKONG DASAR PENCILKAN IRAN

Setiusaha Negara Encik Trump yang kedua mengambil alih jawatan pada awal Mei 2018. Seminggu kemudian, Encik Trump menarik diri Amerika Syarikat keluar daripada perjanjian nuklear dengan Iran dan mengenakan semula sekatan ketat terhadap negara Teluk Parsi itu.

Meskipun kebelakangan ini Encik Pompeo membuat penampilan seolah-olah lebih tenang selaras dengan perubahan pendirian Encik Trump, sambil menegaskan bahawa Encik Trump "tidak menginginkan peperangan", diplomat paling kanan Amerika Syarikat itu dilihat sebagai menyokong dasar-dasar lebih agresif untuk menangani dan memencilkan lagi Iran.

Sebagai anggota Kongres, pada 2004, Encik Pompeo menggesa Washington dan negara-negara sekutu agar menimbangkan serangan-serangan untuk memusnahkan keupayaan nukelar Iran, lapor ABC News.


Setiausaha Negara Amerika Syarikat Mike Pompeo. (Gambar: Reuters)

Pada Mei, Jabatan Negara mengarahkan kakitangan kurang penting supaya meninggalkan kedutaan Amerika di Baghdad kerana ada ancaman pada "masa terdekat" dari kumpulan-kumpulan bersenjata terkait dengan Iran. Tidak lama selepas itu Encik Pompeo berkata pentadbiran Amerika Syarikat menjual senjata kepada Arab Saudi tanpa kelulusan Kongres dengan tujuan "menangani kekerasan Iran".

Setelah Amerika Syarikat mengumumkan bahawa ia akan mengerahkan 1,000 lagi askar ke rantau itu, Encik Pompeo berkata minggu ini bahawa beliau berhasrat untuk "mencapai objektif-objektif strategik" yang ditetapkan oleh Encik Trump.

"Namun kami tidak boleh berbuat demikian tanpa memastikan bahawa kami mempunyai keupayaan untuk bertindak sekiranya Iran membuat keputusan buruk seperti menyerang kepentingan Amerika."

LINDSEY GRAHAM - MAHU "KEPERITAN HEBAT" BERLAKU DI IRAN

Tidak ramai penggubal dasar yang berupaya mempengaruhi dasar luar negara Encik Trump seperti Encik Lindsey Graham, seorang mantan pegawai Tentera Udara Amerika Syarikat yang berkali-kali menyokong pendekatan campur tangan (interventionist).


Senator kanan parti Republican, Lindsey Graham. (Gambar: Win McNamee/Getty Images/AFP)

Senator dari South Carolina itu menekankan tentang "garisan merah" tegar terhadap Iran. Beliau berkata semasa wawancara dengan Fox News pada Rabu (19 Jun) bahawa Amerika Syarikat mesti "menewaskan tentera laut mereka, mengembom kilang-kilang penapisan minyak mereka" jika Iran mengganggu lagi kegiatan perkapalan di Selat Hormuz.

Pada Khamis beliau membuat komen-komen mengejutkan mengenai ancaman Iran.

Para pemimpin Iran mesti bersiap sedia menghadapi "keperitan hebat dari dalam negeri mereka sendiri," kata Encik Graham kepada para wartawan sedang beliau menzahirkan kemarahannya terhadap beberapa insiden "provokasi" termasuk serangan ke atas kapal-kapal Jepun dan insiden dron Amerika Syarikat yang ditembak jatuh.

Mengulas tentang Encik Trump, Encik Graham berkata: "Beliau sedang mencuba untuk mengelak konflik, tetapi ini merupakan detik penentuan yang sebenar-benarnya bagi beliau."

"Jika kamu tidak berdaya menghadapi musuh, kamu akan menyesali." 

- AFP/ZM/zm

Top