Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

3 rakyat Palestin terkorban dalam pertempuran dengan tentera Israel

Tiga rakyat Palestin, termasuk seorang budak lelaki berusia 14 tahun, terkorban di sempadan Gaza, ketika berlaku pertempuran dengan pasukan tentera.

Anggaran Waktu Membaca:
3 rakyat Palestin terkorban dalam pertempuran dengan tentera Israel

Gas pemedih mata dilancarkan ke arah penunjuk perasaan Palestin di selatan Gaza pada 20 Julai 2018. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 06 Oct 2018 09:19PM Dikemas Kini : 06 Oct 2018 09:22PM

BANDAR GAZA: Tiga rakyat Palestin, termasuk seorang budak lelaki berusia 14 tahun, terkorban di sempadan Gaza, ketika berlaku pertempuran dengan pasukan tentera.

Fares Hafez al-Sersawi, 14 tahun, dan Mahmud Akram Mohammed Abu Samane, 24 tahun, kedua-duanya maut selepas ditembak di dada dalam bantahan di timur Bandar Gaza, kata jurucakap kementerian Ashraf al-Qudra.

Hussein al-Rakab, 28, meninggal dunia ketika ditembak di kepala, dekat Khan Yunis di selatan Carikan Gaza, kata Encik Qudra.

Lagi 376 orang cedera, termasuk 126 orang yang ditembak, menurut data kementerian kesihatan. Tujuh dalam keadaan kritikal termasuk seorang sukarelawan perubatan.

Tentera Israel menyatakan bahawa sekitar 20,000 rakyat Palestin mengambil bahagian dalam bantahan yang diadakan pada Jumaat (6 Okt) di banyak kawasan sepanjang sempadan Gaza, menyusuli satu siri tunjuk perasaan yang diadakan sejak bulan Mac lalu.

Bom tangan, bahan letupan dan batu-batu dilontarkan ke arah para askar Israel. Tentera Israel kemudian melancarkan serangan balas.

Angkatan tentera menyatakan ia tidak dapat segera mengulas tentang nasib rakyat Palestin yang terkorban.

Para penunjuk perasaan menuntut hak Palestin untuk kembali ke kampung halaman mereka, di mana keluarga mereka sebelumnya dihalau atau melarikan diri semasa peperangan pada 1948.

Tunjuk-tunjuk perasaan sering bertukar menjadi ganas di kawasan sempadan. Sekurang-kurangnya 198 rakyat Palestin terkorban selepas Israel bertindak balas di Gaza sejak 30 Mac. Seorang askar Israel pula ditembak mati oleh seorang rakyat Palestin.

Israel menyatakan bahawa tindakannya bagi melindungi sempadan, askar dan mereka yang tinggal dekat dengan sempadan Gaza.

Tentera Israel menuduh Hamas sebagai dalang di sebalik bantahan-bantahan itu - termasuk menghasut kanak-kanak - bagi menyorok kegiatan ganasnya.

Israel terlibat dalam tiga peperangan dengan Hamas sejak 2008 dan menganggap kumpulan itu sebagai pertubuhan "pengganas".  

Sumber : AFP/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan