Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

3 produk kosmetik dikesan mengandungi racun berjadual

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia berkata produk tersebut ialah GG Pinky Day Cream for Skin, Tati Therapy Cream 1 and Tati Therapy Cream 2.

Anggaran Waktu Membaca:
3 produk kosmetik dikesan mengandungi racun berjadual

Produk kosmetik mengandungi racun berjadual. (Gambar: Perak Ajerr/Facebook)

Diterbitkan : 24 Feb 2018 03:44PM Dikemas Kini : 24 Feb 2018 03:51PM

KUALA LUMPUR: Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan orang ramai supaya mengelak daripada membeli dan menggunakan tiga produk kosmetik yang dikesan mengandungi racun berjadual, raksa, hydroquinone dan tretinoin, yang tidak dibenarkan dalam produk kosmetik.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata produk tersebut ialah GG Pinky Day Cream for Skin, Tati Therapy Cream 1 and Tati Therapy Cream 2.

Produk kosmetik mengandungi racun berjadual. (Gambar: Perak Ajerr/Facebook)

(Gambar: Perak Ajerr/Facebook)

"Notifikasi produk-produk kosmetik terlibat telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM berikutan pengesanan bahan racun berjadual dalam produk berkenaan," katanya.

Dr Noor Hisham berkata produk yang mengandungi hydroquinone dan tretinoin merupakan produk farmaseutikal yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.

Beliau berkata produk kosmetik yang dicampur palsu dengan hydroquinone boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, malah kulit menjadi hipersensitif.

"Kesan daripada penggunaan hydroquinone boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV berbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit," katanya.

Dr Noor Hisham berkata produk kosmetik yang dicampur palsu dengan tretinoin biasanya dipromosikan untuk tujuan merawat masalah jerawat dan membantu mengurangkan kedutan.

Namun begitu, beliau berkata penggunaan tanpa pengawasan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

Bagi produk kosmetik yang dicampur palsu dengan merkuri atau raksa, beliau berkata ia boleh memudaratkan kesihatan kerana merkuri yang terkandung dalam produk kosmetik boleh menyerap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.

"Ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan. Selain itu, pendedahan kepada merkuri boleh juga dialami oleh orang sekeliling terutamanya kanak-kanak apabila produk kosmetik yang mengandungi merkuri yang disapu pada kulit meruap dan dihidu," katanya.

Penggunaan produk yang mengandungi merkuri, kata beliau, boleh juga menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit.

Dr Noor Hisham berkata penjual dan pengedar produk-produk kosmetik ini diberi amaran supaya menghentikan penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik tersebut dengan serta-merta.

Beliau bekata penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik ini melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh didenda maksimum RM25,000 (S$8,420) atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda maksimum RM50,000 (S$16,840) atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan-kesalahan berikutnya, katanya.

"Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 (S$16,840) untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya," katanya.

Sumber : Bernama/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan