Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

3 nelayan Indonesia diculik dekat Sabah

Tiga nelayan warga Indonesia diculik pada Selasa (11 Sep) oleh sekumpulan lelaki bersenjata di perairan berdekatan dengan bandar Semporna di Sabah.

Anggaran Waktu Membaca:
3 nelayan Indonesia diculik dekat Sabah

Pulau Gaya, Sabah (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 11 Sep 2018 04:37PM Dikemas Kini : 11 Sep 2018 04:43PM

KOTA KINABALU: Tiga nelayan warga Indonesia diculik pada Selasa (11 Sep) oleh sekumpulan lelaki bersenjata di perairan berdekatan dengan bandar Semporna di Sabah.

Menurut laporan the Star, ketiga-tiga mangsa dan seorang lagi lelaki sedang berada di atas bot nelayan yang berlabuh di jeti Pulau Gaya apabila penculikan berlaku semasa perintah berkurung pada sekitar 1.00 pagi.

Lelaki keempat yang selamat daripada diculik, memberitahu pihak polis bahawa beliau dengar bunyi enjin kapal dimatikan dan mendapati bekalan elektrik diputuskan, menurut laporan tersebut yang menukil Pemangku Pesuruhjaya Polis Sabah Omar Mammah.

"Beliau bersembunyi dalam sebuah ruang di bahagian depan bot. Beliau melihat dua lelaki bersenjata yang berpakaian gelap menaiki bot," kata Omar, yang menambah bahawa saksi tersebut memberitahu polis tentang kejadian itu pada sekitar 2.00 pagi.

Pihak polis belum dimaklumkan tentang sebarang panggilan menuntut wang tebusan berhubung kejadian yang sedang disiasat itu, menurut the Star lagi. Siasatan awal mendedahkan bahawa para penculik bertopeng itu membawa senapang M16.

The Star turut melaporkan bahawa para penculik berbahasa Suluk iaitu sejenis dialek yang digunakan di wilayah Sulu di Filipina.

Para mangsa dan penculik belum lagi dikenal pasti, menurut Encik Omar yang ditukil agensi berita BERNAMA.

"Namun kita tidak menolak kemungkinan bahawa penculik itu merupakan kumpulan yang menculik untuk tebusan; sehingga kini kita belum menerima panggilan daripada mana-mana pihak yang mendakwa bertanggungjawab ke atas penculikan itu," tambahnya.

Perintah berkurung di kawasan perairan, antara 6.00 petang hingga 6.00 pagi dikuatkuasakan empat tahun lalu di kawasan sejauh tiga batu nautika dekat Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

Ini merupakan penculikan pertama yang berlaku di Sabah dalam tempoh dua tahun.

Pada 8 Disember 2016, satu siri penculikan oleh sekumpulan tujuh lelaki bersenjata berlaku di perairan dekat Lahad Datu dan Semporna, yang berakhir dengan tiga daripada lelaki bersenjata itu maut.

Kawasan itu mempunyai rekod insiden-insiden penculikan, kebanyakannya didalangi kumpulan militan Abu Sayyaf yang berpangkalan di Jolo, ibu kota Sulu. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan