Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

3 negara Asia Tenggara duduki antara 10 tangga teratas senarai pencemaran udara tertinggi di dunia

Sekurang-kurangnya tujuh negara Asia menduduki antara 10 tangga teratas dalam senarai negara dengan pencemaran udara tertinggi di dunia. Daripada tujuh negara tersebut, tiga daripadanya adalah daripada rantau Asia Tenggara, iaitu Malaysia, Indonesia dan Thailand.

Anggaran Waktu Membaca:
3 negara Asia Tenggara duduki antara 10 tangga teratas senarai pencemaran udara tertinggi di dunia

Keadaan jerebu di Putrajaya pada 16 Sep 2019. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 19 Sep 2019 04:06PM Dikemas Kini : 19 Sep 2019 04:08PM

SINGAPURA: Sekurang-kurangnya tujuh negara Asia menduduki antara 10 tangga teratas dalam senarai negara dengan pencemaran udara tertinggi di dunia.

Dan daripada tujuh negara tersebut, tiga daripadanya adalah daripada rantau Asia Tenggara, iaitu Malaysia, Indonesia dan Thailand.

Bagi Malaysia misalnya, ia bukan sesuatu yang patut dibanggakan buat masa ini.

Ini kerana negara-negara di rantau ini, termasuk Singapura, sedang dilanda jerebu yang disebabkan oleh kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan.

Berdasarkan cerapan Indeks Pencemaran Udara (IPU) oleh laman Indeks Mutu Udara Sedunia (WAQI) pada Rabu jam 6.20 pagi, Malaysia mencatatkan bacaan IPU 266.

Ia adalah bacaan tertinggi di dunia berdasarkan waktu tersebut, diikuti dengan Afrika Selatan (217), Indonesia (207), India (194) dan China (178).

Namun, perlu diingatkan bahawa bacaan IPU berubah dari semasa ke semasa.

Laman WAQI dikemas kini setiap jam.

Menurut semakan BERITAmediacorp ke atas laman tersebut setakat sehingga 3.30 petang pada Khamis, Malaysia kini menduduki tempat keenam dengan bacaan 266, satu tangga di bawah Indonesia yang mencatat bacaan 297.

Bacaan IPU di Singapura berdasarkan waktu tersebut adalah 102 manakala di Thailand, IPU negara itu setinggi 147.

Menurut laporan Astro Awani, bacaan IPU berdasarkan negeri di Malaysia dilihat semakin beransur pulih hari ini setakat sehingga jam 6.00 pagi tadi, memandangkan tiada satu tempat yang mencatatkan bacaan IPU melepasi tahap berbahaya.

Secara keseluruhannya, enam kawasan masih mencatat bacaan IPU sangat tidak sihat termasuk Kuching, Samarahan, Sri Aman, Sibu dan Sarikei di Sarawak serta Balik Pulau di Pulau Pinang.

Sementara itu, 41 daerah mencatatkan bacaan IPU tidak sihat - kebanyakannya di Lembah Klang, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Kedah dan Sabah.

Kesemua sekolah dan tadika di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pulau Pinang ditutup buat dua hari mulai Khamis kerana keadaan berjerebu yang kian memburuk.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pula akan melaksanakan dasar Bekerja Dari Rumah dalam tempoh cuaca berjerebu yang semakin teruk dengan bacaan IPU mencecah paras 200 dan ke atas. 

Sumber : BERITA Mediacorp/Agensi berita/FZ/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan