Images
  • ottawa bus
    Tiga penumpang maut selepas bas yang dinaiki rempuh perhentian bas. (Gambar: Justin Tang/ The Canadian Press melalui AP)

3 maut dalam kemalangan bas dua tingkat Kanada

OTTAWA: Tiga orang maut dan sekurang-kurangnya 23 lagi cedera, apabila sebuah bas dua tingkat melanggar sebuah perhentian bas di ibu kota Kanada.

Bahagian atas bas terbabit terkopak dari arah depan, manakala anggota bomba yang menggunakan tangga kelihatan bertungkus lumus membantu para mangsa yang terperangkap. Kemalangan berlaku pada sekitar 4.00 petang (waktu tempatan), 11 Jan.

25 ambulans turut dikerahkan dalam keadaan cuaca sejuk untuk membawa para mangsa yang cedera ke hospital.

Menurut para saksi, bas OC Transpo Route 269 itu membelok secara tiba-tiba, sebelum melanggar bas yang sedang berhenti di sebuah platform di stesen Westboro, barat pusat bandar. Pemandu bas berkenaan ditahan di tempat kejadian.

Datuk Bandar Ottawa, Jim Watson dalam satu sidang media mengesahkan tiga mangsa maut - dua daripadanya merupakan penumpang bas terbabit sementara seorang lagi semasa kejadian sedang menunggu di perhentian bas.

14 daripada para mangsa yang cedera berada dalam keadaan kritikal.

Satu insiden serupa pernah berlaku di Ottawa sebelum ini. Pada 2013, enam orang maut dalam satu nahas yang juga melibatkan bas dua tingkat.  

- Reuters/AA/aq

Top