Images
  • gavel court
    Gambar hiasan. 

3 lelaki dikenakan 11 dakwaan hina Nabi dan agama Islam

KUALA LUMPUR: Tiga lelaki didakwa atas 11 pertuduhan di Mahkamah Sesyen hari ini (8 Mac) berhubung kes menghina Nabi Muhammad dan agama Islam di media sosial baru-baru ini.

Penganggur, Mohamad Yazid Kong Abdullah, 52 tahun, mengaku bersalah manakala penjaja, Chow Mun Fan, 43 tahun, dan pekerja kedai serbaneka, Danny Antoni, 28 tahun, masing-masing mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Hasbullah Adam.

Bagaimanapun, Hakim Hasbullah menetapkan 11 Mac untuk pendengaran fakta kes dan menjatuhkan hukuman terhadap Mohamad Yazid.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Yazid didakwa menghantar komunikasi jelik dengan niat menyakitkan hati melalui aplikasi Facebook dengan profil nama 'Yazid Kong', pada pukul 8.21 malam, 24 Februari 2019.

Hantaran itu kemudian dibaca oleh seorang pengguna Facebook lain, laman profil 'Mohamad Syafiq' di Masjid Salahuddin Al-Ayubi, Jalan Taman Melati, Wangsa Maju, di sini, pada pukul 12.00 tengah hari, 1 Mac lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 (S$16,600) atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 (S$330) bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Chow didakwa atas satu pertuduhan menggunakan aplikasi Twitter dengan akaun profil 'Alvin@Alvin15358333' membuat kenyataan yang mungkin mengapikan kaum Melayu dengan kaum bukan Melayu mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Chow turut didakwa atas tujuh lagi pertuduhan memuat naik catatan yang berkemungkinan menyebabkan suasana tidak harmoni antara penganut Islam dengan bukan Islam pada pukul 2.29 petang dan pukul 7.06 petang, 2 Mac 2019.

Kesemua catatan itu seterusnya dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Menara KPJ pada pukul 8.30 malam, 3 Mac lalu.

Danny Antoni pula didakwa atas dua pertuduhan menggunakan laman profil 'Danny A'antonio Jr' dan memuat naik satu hantaran menghina Nabi Muhammad, agama Islam dan Presiden Parti Islam Semalaysia (PAS) Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang berkemungkinan menyebabkan suasana tidak harmoni antara penganut Islam dengan bukan Islam pada pukul 1.21 pagi, 9 Januari lalu.

Hantaran itu kemudiannya dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Menara KPJ pada pukul 10.00 pagi, 4 Mac lalu.

Bagi kesemua kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.

Selain itu, mereka turut didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Jabatan Pendakwaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Mohd Sophian Zakaria dan Timbalan Pendakw Raya Muhamad Asyraf Md Kamal. Manakala tertuduh Mohamad Yazid dan Chow diwakili peguam Muhammad Syafiq Salleh dan Danny tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Muhamad Asyraf berkata pihak pendakwaan membantah sebarang permohonan jaminan terhadap kesemua tertuduh atas alasan mereka menghina agama, nabi dan anggota keselamatan yang meninggal dunia semasa bertugas.

Hujahnya lagi, pihak pendakwaan komited untuk menyelesaikan kes dalam masa yang singkat kerana ia melibatkan kepentingan awam mengambil kira faktor hampir 1,000 laporan polis mengenai kes ini dibuat di seluruh negara.

"Keadaan ini boleh mengundang kemarahan dan sekiranya tidak dikawal dengan baik boleh menjejaskan keselamatan negara. Saya mohon tiada jaminan dibenarkan," kata beliau.

Tegasnya, kesemua tertuduh perlu diasingkan sementara dari masyarakat dan akses internet kerana risiko adalah tinggi untuk mereka mengulangi kesalahan sama sekiranya jaminan dibenarkan.

Beliau turut memaklumkan, tertuduh Chow pernah didakwa sebanyak dua kali di Kuala Lumpur dan Muar, Johor melibatkan kesalahan sama berunsur penghinaan bagaimanapun dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) kerana tidak hadir ke mahkamah sehingga ada beberapa waran tangkap dikeluarkan terhadapnya.

Encik Mohd Sophian pula berhujah bahawa tertuduh memuat naik hantaran itu secara terancang dan menggunakan perkataan jelik dan keras dengan tujuan ingin meletakkan nabi dan Islam pada tempat yang serendah-rendahnya.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 5 April depan untuk sebutan semula kes.

- BERNAMA/DY/ai

Top