Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

3 kilang haram di Pasir Gudang diserbu

Tiga kilang dipercayai beroperasi secara haram di Pasir Gudang diserbu dan dikenakan pelbagai tindakan oleh pihak penguat kuasa dalam satu operasi pemeriksaan bersepadu berterusan menyusuli insiden sesak nafas dan muntah-muntah di kawasan itu sejak 20 Jun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
3 kilang haram di Pasir Gudang diserbu

Sekolah-sekolah di Pasir Gudang diarahkan tutup Jun lalu. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 12 Jul 2019 10:41AM Dikemas Kini : 12 Jul 2019 10:45AM

JOHOR BAHRU: Tiga kilang dipercayai beroperasi secara haram di Pasir Gudang diserbu dan dikenakan pelbagai tindakan oleh pihak penguat kuasa dalam satu operasi pemeriksaan bersepadu berterusan menyusuli insiden sesak nafas dan muntah-muntah di kawasan itu sejak 20 Jun lalu.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor Encik Wan Abdul Latiff Wan Jaafar berkata hasil operasi bersepadu pelbagai agensi semalam, pihaknya menahan operasi, kelengkapan serta peralatan terhadap satu kilang manakala pihak Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) bertindak menyita ketiga-tiga kilang terbabit.

“Sebuah kilang dipercayai mengitar semula bahan terpakai seperti plastik, minyak terpakai. Sebuah kilang lagi berasaskan logam dan sebuah lagi kilang disyaki membuat pengasingan sisa pepejal,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini (12 Jul).

Sehingga 5.00 petang semalam (11 Jul), sebanyak 248 kilang sudah diperiksa menerusi operasi bersepadu berterusan yang disertai pelbagai agensi kerajaan termasuk JAS dan MPPG.

Encik Wan Abdul Latiff berkata sebanyak 125 kompaun melibatkan buangan terjadual dikeluarkan, 10 kompaun untuk efluen perindustrian manakala satu kompaun untuk loji kumbahan.

“Selain itu, 59 notis arahan turut dikeluarkan, 11 perintah tahan operasi kelengkapan dan tiga bakal berdepan dengan syor tindakan mahkamah,” katanya.

Meskipun sasaran awal pemeriksaan sebanyak 250 kilang hampir selesai, pihaknya akan meneruskan seberapa banyak pemeriksaan secara berterusan.

“Kita akan teruskan seberapa banyak (pemeriksaan terhadap kilang-kilang lain) yang boleh. Saya nak buat lebih daripada itu (lebih 250 kilang),” katanya.

Menerusi entri yang dimuat naik ke Facebook JAS semalam, fokus operasi pemeriksaan bersepadu pada Khamis menumpukan kepada kilang-kilang haram yang tiada lesen perniagaan.

Antara tindakan yang diambil selain arahan berhenti operasi adalah pemotongan bekalan elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan