Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

3 juta penduduk masih ingkar Perintah Kawalan Pergerakan M'sia, tentera guna dron pantau

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menggunakan teknologi dron dan pesawat tanpa pemandu (UAV) bagi memantau Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan sebagai usaha membendung wabak COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
3 juta penduduk masih ingkar Perintah Kawalan Pergerakan M'sia, tentera guna dron pantau

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 23 Mar 2020 02:01PM Dikemas Kini : 23 Mar 2020 02:05PM

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menggunakan teknologi dron dan pesawat tanpa pemandu (UAV) bagi memantau Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan sebagai usaha membendung wabak COVID-19.

Panglima ATM Jeneral Affendi Buang berkata perkara tersebut telah dibincangkan dengan industri tempatan bagi meningkatkan jumlah alatan teknologi yang akan diguna pakai. 

"Kami akan gunakan teknologi dron dan UAV. Perkara ini telah saya bincangkan dengan industri tempatan. ATM sudah ada (teknologi itu) tetapi jumlah perlu ditambah. 

"Menerusi penggunaan teknologi, ia akan menambah baik (dari sudut) pemantauan. Kemungkinan (penggunaan dron dan UAV) dalam sehari dua ini, boleh kami gunakan,” katanya ketika ditemu bual RTM1 dalam program Selamat Pagi Malaysia hari ini (23 Mac).

Jen Affendi turut menyatakan ATM komited dalam mencapai objektif Perintah Kawalan Pergerakan, selain bersedia untuk menambah bilangan anggotanya seandainya perlu. 
 
Beliau menyeru rakyat Malaysia untuk memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dalam usaha membendung wabak COVID-19 demi kemaslahatan bersama. 

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah, kelmarin berkata sekitar 10 peratus atau tiga juta penduduk negara itu masih mengingkari atau ‘sengaja’ tidak memahami arahan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Beliau berkata mungkin angka itu nampak kecil tetapi dalam konteks penularan COVID-19, jumlah itu cukup besar untuk memburukkan lagi keadaan.

Malaysia mengumumkan satu lagi kematian berkaitan virus itu hari ini menjadikan kumulatif kes kematian seramai 11 orang.

Sehingga tengah hari Ahad, jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 1,306 kes. 

Sumber : Bernama/SU/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan