Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

3 beradik masing-masing didenda RM1,000 kerana bawa lari jenazah bapa

Tiga beradik lelaki masing-masing didenda RM1,000 (S$327) oleh Mahkamah Majistret hari ini (25 Jan) kerana menghalang tugas pegawai kesihatan dengan membawa lari jenazah bapa mereka yang perlu disaring COVID-19 dari Hospital Lahad Datu pada Rabu lalu (20 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
3 beradik masing-masing didenda RM1,000 kerana bawa lari jenazah bapa

Gambar hiasan.

Diterbitkan : 25 Jan 2021 08:56PM Dikemas Kini : 25 Jan 2021 08:57PM

LAHAD DATU: Tiga beradik lelaki masing-masing didenda RM1,000 (S$327) oleh Mahkamah Majistret hari ini (25 Jan) kerana menghalang tugas pegawai kesihatan dengan membawa lari jenazah bapa mereka yang perlu disaring COVID-19 dari Hospital Lahad Datu pada Rabu lalu (20 Jan).

Majistret Ryan Sagirann Rayner Jr menjatuhkan hukuman itu terhadap Said Jipri, 27, dan kembarnya, Sabri serta adik mereka Jenrey, 26, selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan secara bersama.

Ryan Sagirann turut memerintahkan kesemua tertuduh dipenjara satu tahun lagi jika gagal membayar denda. Semua tertuduh membayar denda itu.

Tiga beradik itu didakwa menghalang Mohamad Izwan Ahmad Saibi iaitu pegawai diberi kuasa oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, daripada melakukan kewajipannya di Khemah Zon Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Jabatan Kecemasan Hospital Lahad Datu pada pukul 8.30 malam pada 20 Jan lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 22(a) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (a) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Risal Abd Fikkah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap semua tertuduh sebagai pengajaran dengan mengambil kira perbuatan mereka boleh mendatangkan risiko kesihatan ketika pandemik COVID-19 dengan Lahad Datu kini masih dikategori zon merah.

Peguam Hafizah Mohd Akram Khan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan yang mewakili tiga beradik itu, bagaimanapun, memohon mahkamah menimbang hukuman ringan dengan alasan ia merupakan kesalahan pertama kesemua tertuduh selain mereka mempunyai pendapatan rendah dan perlu menanggung keluarga.

"Ketika kejadian semua tertuduh berasa tertekan, sedih dan hilang pertimbangan selepas mendapat tahu bapa mereka meninggal dunia dan semua tertuduh ketika itu percaya bapa mereka meninggal dunia disebabkan strok serta sesak nafas dan bukan kerana COVID-19," katanya.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan