Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

29 sekolah di Selangor diarahkan tutup pada Jumaat akibat jerebu

Sebanyak 29 sekolah di Klang dan Kuala Langat akan ditutup pada Jumaat (13 Sep) akibat jerebu, meningkat daripada hanya lima sekolah hari ini.

Anggaran Waktu Membaca:
29 sekolah di Selangor diarahkan tutup pada Jumaat akibat jerebu

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 12 Sep 2019 11:18PM Dikemas Kini : 13 Sep 2019 01:40AM

SHAH ALAM: Sebanyak 29 sekolah di Klang dan Kuala Langat akan ditutup pada Jumaat (13 Sep) akibat jerebu, meningkat daripada hanya lima sekolah hari ini.

Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dalam satu kenyataannya di Shah Alam pada Khamis (12 Sep) memaklumkan penutupan sekolah itu melibatkan 24 sekolah di Klang dan lima sekolah di Kuala Langat.

"Penutupan sekolah di Klang melibatkan enam buah sekolah menengah kebangsaan, 12 buah sekolah kebangsaan dan masing-masing tiga buah sekolah jenis kebangsaan Cina dan sekolah jenis kebangsaan Tamil.

"Di Kuala Langat pula melibatkan sebuah sekolah menengah kebangsaan dan empat buah sekolah kebangsaan. Seramai 45,265 pelajar terlibat dalam penutupan sekolah di kedua-dua daerah ini," menurut kenyataan tersebut.

Ia menambah sekiranya pihak sekolah mendapati bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan mereka melebihi 200, pihak sekolah perlu mengambil tindakan selaras dengan Surat Siaran KPM dengan menutup sekolah serta-merta sehingga keadaan kembali pulih.

"Semua sekolah terlibat diingatkan supaya merujuk kepada surat siaran berkaitan perkara berkenaan dan mengambil tindakan selaras dengan kenyataan dalam surat siaran itu," tambah kenyataan tersebut.

Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar setakat pukul 7.00 malam tadi, bacaan IPU di Johan Setia adalah 189, Klang (116) dan Banting (111).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 disifatkan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya). 

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan