Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

284 kotak, 72 bagasi mengandungi wang tunai, beg jenama dirampas dari kondominium mewah

PDRM merampas 72 beg berisi barangan kemas, pelbagai jenis matawang dan barangan berharga di sebuah kondominium mewah, dipercayai berkaitan dengan mantan perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Anggaran Waktu Membaca:
284 kotak, 72 bagasi mengandungi wang tunai, beg jenama dirampas dari kondominium mewah

Polis di pekarangan apartmen milik seorang 'Datuk Seri'. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 18 May 2018 07:55AM Dikemas Kini : 18 May 2018 07:58AM

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas 72 beg berisi barangan kemas, pelbagai jenis matawang dan barangan berharga di sebuah kondominium mewah, dipercayai berkaitan dengan mantan perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata sebanyak 284 kotak yang mengandungi beg tangan pelbagai jenama mewah turut dirampas dari tiga buah unit kediaman di kondominium tersebut di Jalan Raja Chulan.

Menurutnya, nilai rampasan belum ditentukan lagi kerana jumlah barang yang dirampas adalah banyak.

“Polis akan membuat pemeriksaan secara terperinci hari ini bagi menentukan jumlah nilai sebenar rampasan,” katanya semasa sidang media selepas tamat operasi pemeriksaan di kondominium berkenaan pada jam 2.00 pagi tadi (18 Mei).

Beliau berkata JSJK mula membuat pemeriksaan serentak sejak malam kelmarin (16 Mei) di enam buah permis bagi membantu siasatan kes 1MDB iaitu Pejabat Perdana Menteri dan kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana di Putrajaya, kediaman peribadi Datuk Seri Najib di Jalan Langgak Duta, Taman Duta serta tiga unit kediaman di kondominium tersebut.

BEG BERJENAMA

Beliau menambah, antara beg tangan mewah yang dirampas adalah berjenama Hermes Birkin dan Louis Vuitton.

Tiada penghuni di unit kediaman kondominium berkenaan ketika polis menjalankan pemeriksaan serta melakukan rampasan terhadap barangan berharga di situ.

“Untuk kes geledah kediaman mewah itu, polis sudah memperoleh perintah mahkamah dan tidak menghadapi halangan daripada mana-mana individu ketika melakukan pemeriksaan,” katanya.

Polis terpaksa menggunakan lima trak polis untuk membawa bagasi dan kotak beg tangan mulai jam 12.15 tengah malam (18 Mei) dan selesai dua jam setengah kemudian.

Ditanya mengenai rampasan di lokasi lain, Datuk Seri Amar berkata barangan yang dirampas di Pejabat Perdana Menteri adalah dokumen dipercayai berkaitan 1MDB serta barangan berharga antara lain daripada kediaman peribadi Datuk Seri Najib.

Beliau berkata proses penggeledahan ini akan berterusan sehingga selesai.

Berkaitan pemilikan tiga unit kondominium mewah itu pula, ia dipercayai milik seorang individu bergelar ‘Tan Sri’.

BUKTI UNTUK DAKWA NAJIB?

Selain itu, berhubung laporan media yang mendakwa bagasi yang dirampas mengandungi ketulan jongkong emas, Datuk Seri Amar enggan mengulas berhubung perkara itu.

Keputusan bagi sama ada kesemua barangan rampasan cukup menjadi bahan bukti untuk mendakwa Datuk Seri Najib akan dimaklumkan oleh Ketua Polis Negara,Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

“Saya hanya menerima arahan menjalankan siasatan untuk membuat penggeledahan berkenaan dengan kes berkaitan 1MDB,” katanya.

Datuk Seri Amar juga menjelaskan bahawa peti besi yang ditemui di kediaman peribadi Najib di Jalan Langgak Duta, masih lagi dalam proses penggerudian untuk membukanya.

“Kami menjalankan siasatan kes ini dengan penuh professional… saya juga mengarahkan kesemua pegawai serta anggota saya menjalankan siasatan kes ini dengan terperinci dan teliti,” katanya.

Beliau memberi jaminan akan mendedahkan kesemua barangan yang dirampas pada sidang media dalam masa terdekat. 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan