Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

28 lemas kebanyakan kanak-kanak dalam nahas bas

Sekurang-kurangnya 28 orang, kebanyakannya kanak-kanak lemas pada Sabtu (24 Nov) apabila bas yang mereka naiki terjunam ke dalam sebuah terusan air di India, menurut pegawai polis.

Anggaran Waktu Membaca:
28 lemas kebanyakan kanak-kanak dalam nahas bas

Sebuah bas terjunam ke dalam sebuah terusan air di India (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 25 Nov 2018 09:16PM Dikemas Kini : 25 Nov 2018 09:22PM

NEW DELHI: Sekurang-kurangnya 28 orang, kebanyakannya kanak-kanak lemas pada Sabtu (24 Nov) apabila bas yang mereka naiki terjunam ke dalam sebuah terusan air di India, menurut pegawai polis. Ia merupakan tragedi terbaru yang berlaku di antara jalan raya paling berbahaya di dunia.

Polis menyatakan pihaknya mengeluarkan 28 mayat daripada bas privet itu setelah ia terbabas dan terjunam ke dalam terusan air di daerah Mandya, di wilayah selatan Karnataka.

Seorang pegawai polis yang berada di tempat kejadian memberitahu AFP bahawa kebanyakan mangsa adalah kanak-kanak yang dalam perjalanan pulang dari sekolah.

"Ramai di antara 28 yang terkorban adalah kanak-kanak," seorang pegawai polis memberitahu AFP menerusi telefon.

Pihak polis tidak dapat mengesahkan jumlah sebenar penumpang yang berada di dalam bas atau punca nahas, namun pemandunya dipercayai memandu dengan laju.

Media tempatan melaporkan sekitar 35 orang berada di dalam kenderaan itu.

Rakaman video yang disiarkan di televisyen menunjukkan penduduk tempatan menggunakan tali untuk mencapai bas yang terjunam dan mengeluarkan mayat. Para pegawai kecemasan dan penyelam turut serta membantu para sukarelawan.

Menurut saluran berita NDTV, para mangsa tidak dapat keluar daripada bas yang terbalik di bahagian tepi itu kerana pintu-pintu bas tersekat di dasar terusan.

Ketua menteri wilayah H D Kumaraswamy berikrar untuk membantu keluarga para mangsa.

Kemalangan jalan raya di India meragut lebih 150,000 nyawa setiap tahun. Kebanyakan nahas diakibatkan keadaan jalan raya yang teruk, kenderaan yang tidak disenggara dan kecuaian dalam memandu.

Pada September lalu, 50 orang terkorban di wilayah berdekatan Telangana, apabila sebuah bas terjunam dalam sebuah gaung.

Pada Khamis pula, enam budak sekolah terbunuh apabila van yang mereka naiki berlanggar dengan sebuah bas di wilayah tengah Madhya Pradesh. 

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan