Images
  • elephant india covid-19
    (Gambar: AFP)

28 gajah di India diuji bagi COVID-19 susuli kematian singa

COMIBATORE, India: Sebanyak 28 ekor gajah diuji bagi COVID-19 di sebuah hutan simpanan di selatan India, menurut para pegawai pada Rabu (9 Jun), setelah ia melaporkan kematian seekor singa Asia yang jarang ditemui akibat jangkitan virus tersebut.

Dalam apa yang dipercayai adalah kematian haiwan yang pertama di India disebabkan oleh jangkitan koronavirus, seekor singa betina berusia sembilan tahun mati di sebuah taman haiwan di Chennai di wilayah Tamil Nadu pada awal Jun, lapor media tempatan.

Singa betina itu adalah antara sembilan ekor singa yang diuji positif COVID-19, termasuk lagi dua yang berada dalam keadaan kritikal, lapor akhbar The New Indian Express pada minggu lalu.

"Setelah singa-singa di Taman Haiwan Vandalur diuji positif COVID-19, kami disuruh untuk menjalankan ujian ke atas gajah-gajah sebagai langkah berjaga-jaga," kata renjer di Hutan Simpanan Harimau Mudumalai di selatan Tamil Nadu kepada AFP pada Rabu.

Sampel dari hidung dan dubur diambil daripada 28 ekor gajah, termasuk dua ekor anak gajah pada Selasa (8 Jun) dan ia dihantar ke Institut Kajian Veterinar India di sebelah utara Uttar Pradesh.

Para penjaga haiwan mengangkat belalai gajah untuk mengambil sampel dari lubang hidungnya, menurut rakaman video yang dikongsi oleh hutan simpanan itu. Mereka juga memasukkan swab ke dalam dubur haiwan itu.

Hasil ujian dijangka tiba dalam masa seminggu.

"Haiwan-haiwan itu tidak mengalami simptom, ia hanya sebagai langkah berjaga-jaga," menurut renjer itu.

"Tiada kesukaran untuk mengambil sampel swab kerana gajah-gajah itu semua terlatih."

Sekitar 21 ekor harimau di sebuah taman haiwan di timur Jharkhand turut menjalani ujian COVID-19 pada minggu lalu setelah seekor harimau berusia 10 tahun mati setelah ia jatuh sakit, lapor media tempatan.

Hasil ujian pantas antigen harimau itu adalah negatif namun para pegawai berkata mereka sedang menunggu hasil ujian RT-PCR," lapor Press Trust of India.

- AFP/HA/ha

Top