Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

27 tan kurma dirampas; guna logo halal tanpa kebenaran

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang merampas 27 tan buah kurma bernilai RM448,000 (S$147,300)pada Selasa (23 Apr) kerana menggunakan logo halal tanpa kebenaran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Anggaran Waktu Membaca:
27 tan kurma dirampas; guna logo halal tanpa kebenaran

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Pulau Pinang merampas 27 tan buah kurma kerana menggunakan logo halal tanpa kebenaran. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 24 Apr 2019 08:23AM Dikemas Kini : 24 Apr 2019 08:27AM

BUKIT MERTAJAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang merampas 27 tan buah kurma bernilai RM448,000 (S$147,300) pada Selasa (23 Apr) kerana menggunakan logo halal tanpa kebenaran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Pengarah KPDNHEP negeri, Mohd Ridzuan Abdul Ghapar, berkata rampasan itu dibuat semasa satu serbuan di sebuah gudang syarikat pengimport dan pengedar kurma di Bandar Perda pada pukul 11.00 pagi, hasil maklumat awam dan risikan bersama dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP).

"Hasil pemeriksaan mendapati syarikat itu mengimport kurma dari pelbagai negara di seluruh dunia dan kami mendapati bungkusan kurma itu menggunakan logo halal tanpa kebenaran JAKIM, malah ia (logo) juga tidak sama dengan yang asli.

"Serbuan itu adalah kejayaan terbesar pihak KPDNHEP dan JHEAIPP pada tahun ini kerana penggunaan logo halal tanpa kebenaran memang memberi kesan kepada orang Islam serta tidak boleh digunakan dengan sewenang-wenangnya," katanya kepada para wartawan menyusuli serbuan tersebut.

Encik Mohd Ridzuan berkata berdasarkan siasatan, syarikat itu menggunakan logo halal tanpa kebenaran sejak tiga tahun lalu dan kurma yang diimport adalah untuk pasaran di negeri-negeri utara sempena bulan Ramadan.

"Syarikat itu juga tidak pernah memohon logo halal daripada JAKIM, malah memberi alasan tidak tahu tidak boleh menggunakan logo berkenaan tanpa kebenaran. Alasan itu tidak munasabah kerana pihak JAKIM sentiasa membuat hebahan mengenai perkara itu," katanya.

Encik Mohd Ridzuan berkata menyusuli serbuan itu, pihaknya merekodkan keterangan pemilik syarikat berkenaan dalam membantu siasatan kes dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Ditanya sama ada akan berlaku masalah kekurangan bekalan kurma berikutan serbuan berkenaan, beliau berkata beberapa syarikat lain dijangka mampu menampung permintaan kurma sepanjang bulan puasa nanti.

"Kes ini disiasat menurut Perintah 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan Dan Penandaan Halal) 2011 kerana menggunakan logo halal tanpa kebenaran pihak berkuasa dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM250,000 (S$82,200)," katanya.

Beliau menambah pihaknya akan meningkatkan operasi dan pemeriksaan ke atas produk-produk makanan, terutama menjelang Ramadan ini, bagi memastikan pembekal mematuhi peraturan terutama berkaitan logo halal. 

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan