Images
  • kaktai
    Kai-tak melanda pulau Samar yang baru dilanda taufan ganas Haiyan empat tahun dahulu. (Gambar: ALREN BERONIO/AFP)

26 terkorban akibat tanah runtuh di Filipina

MANILA: Sekurang-kurangnya 26 orang terkorban manakala beberapa lagi penduduk hilang di sebuah pulau di bahagian tengah Filipina.

Ini selepas ribut tropika Kai-tak yang membawa hujan lebat menyebabkan tanah runtuh, menurut pihak berkuasa dan media tempatan semalam (17 Dis).

Kai-tak menyebabkan bekalan tenaga terputus di beberapa kawasan, memaksa beberapa penerbangan dibatalkan, sehinga lebih 15,000 penumpang terkandas di wilayah itu dan hampir 88,000 lagi terpaksa mencari tempat berteduh di pusat-pusat perlindungan sementara.

Jabatan Pengurusan Risiko Bencana pulau Biliran menyatakan bahawa 26 orang terkorban tetapi Majlis Pengurusan Risiko Bencana Nasional (NDRRMC) masih belum membuat pengumuman rasmi mengenai angka korban.

Sungguhpun demikian, Gabernor Biliran, Gerardo Espina Jr mengesahkan jumlah kematian itu, sambil menambah bahawa seramai 23 orang masih dilaporkan hilang dalam wawancaranya di radio DZMM.

"Kami menerima laporan tentang tiga kematian daripada DILG (Jabatan Dalam Negeri dan Pemerintah Tempatan) tetapi ia masih belum disahkan lagi," kata jurucakap NDRRMC, Romina Marasigan. "Kami masih berusaha untuk mengesahkan perkara lain."

Banyak kawasan yang ditenggelami air, sekaligus merosakkan hasil tuaian dan prasarana.

Sebelum ini, Kai-tak yang melanda wilayah Visayas pada Sabtu lalu (16 Dis) turut mengganas di pulau-pulau berdekatan dan bandar tepi pantai seperti Tacloban City di mana taufan dahsyat Hayian meragut nyawa 8,000 orang pada 2013.

Kai-tak yang juga dikenali sebagai Urduja oleh penduduk tempatan bertiup sekencang 55 kilometer sejam dengan sekali-kala mencatatkan 80 kilometer sejam menurut makluman yang dikeluarkan oleh biro kaji cuaca pada pukul 8.00 malam waktu tempatan. 

- REUTERS/SM/sm

Top