Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

25 orang ditipu 'ustazah', rugi pakej umrah lebih S$60,000

Seramai 25 bakal jemaah umrah kerugian kira-kira RM178,600 (S$60,282) apabila mendakwa ditipu seorang wanita dipanggil ‘ustazah’ yang mengaku wakil sebuah syarikat pengendali pakej umrah di ibu negara.

Anggaran Waktu Membaca:
25 orang ditipu 'ustazah', rugi pakej umrah lebih S$60,000

Gambar fail para jemaah melakukan tawaf di sekeliling Kaabah. (Gambar: REUTERS)

Diterbitkan : 27 Jan 2018 11:09PM Dikemas Kini : 27 Jan 2018 11:10PM

ALOR SETAR: Seramai 25 bakal jemaah umrah kerugian kira-kira RM178,600 (S$60,282) apabila mendakwa ditipu seorang wanita dipanggil ‘ustazah’ yang mengaku wakil sebuah syarikat pengendali pakej umrah di ibu negara.

Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) Mohamad Yusrizal Yusoff berkata kebanyakan mangsa terdiri daripada pesara kerajaan, peniaga dan petani di sekitar Alor Setar dan Guar Chempedak dekat Yan itu merasa tertipu selepas beberapa kali jadual penerbangan ditunda serta belum menerima semula bayaran yang dibuat.

“Selepas CAKE mendapat laporan daripada mangsa, saya menghubungi wanita itu yang berjanji akan memulangkan semula bayaran mangsa sebelum ini, namun hingga hari ini pengadu mendakwa belum lagi menerima bayaran dan datang membuat aduan polis,” kata Encik Yusrizal.

Seramai 12 mangsa hadir di IPD Kota Setar petang tadi (26 Jan) untuk membuat aduan bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan dan mengambil tindakan terhadap individu tersebut.

Encik Yusrizal menambah mangsa yang terbabit berusia 14 hingga 65 tahun dan kebanyakan mereka merupakan jemaah kali pertama yang ingin mengerjakan umrah dan sangat teruja untuk ke tanah suci.

“Mereka sepatutnya berlepas pada 6 Disember tahun lepas, namun ditunda pada 9 Disember dan kemudiannya 17 Disember dan hingga hari ini dengan alasan tiada tiket serta mula merasa tertipu apabila tidak mendapat maklumat tepat daripada individu berkenaan,” katanya.

Seorang mangsa, Siti Fatimah Osman, 68, berkata beliau kerugian RM7,200 (S$2430) apabila ditipu wanita itu yang hanya dikenali di sebuah masjid di sini, yang menawarkan pakej menarik dan harga berpatutan.

“Saya ajak rakan yang lain kerana ia menarik, namun rasa tertipu apabila tarikh asal ke tanah suci Mekkah selalu ditunda walaupun sudah memperolehi visa dengan alasan masih tidak mendapat tiket penerbangan dan tempat penginapan, malah sering berdolak-dalik apabila ditanya tentang perkara itu,” katanya.

Beliau berharap pihak polis dapat menjalankan siasatan dan mengheret wanita itu ke muka pengadilan.

Bagi pasangan suami isteri, Ismail Hashim, 55, dan Siti Hawa Kasim, 54, mereka sangat kecewa kerana wang yang dibayar kepada wanita itu adalah hasil titik peluh membuat kerja sawah sejak sekian lama.

“RM13,800 kami berdua ditipu dan saya harap wanita itu dapat memulangkan semula wang kami agar kami dapat pergi selepas ini,” katanya. 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan