Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

24 dipercayai maut, puluhan cedera susuli kebakaran studio animasi Jepun

Sekurang-kurangnya 24 orang dipercayai terkorban menyusuli satu kebakaran yang disyaki disengajakan di sebuah studio animasi di bandar Kyoto, Jepun pada Khamis (18 Jul). Berpuluh-puluh yang lain cedera, termasuk sebilangan yang cedera parah.

Anggaran Waktu Membaca:
24 dipercayai maut, puluhan cedera susuli kebakaran studio animasi Jepun

Kebakaran di sebuah studio di Kyoto, Jepun pada 18 Jul (Gambar: AP)

Diterbitkan : 18 Jul 2019 05:58PM Dikemas Kini : 18 Jul 2019 06:03PM

TOKYO: Sekurang-kurangnya 24 orang dipercayai terkorban menyusuli satu kebakaran yang disyaki disengajakan di sebuah studio animasi di bandar Kyoto, Jepun pada Khamis (18 Jul). Berpuluh-puluh yang lain cedera, termasuk sebilangan yang cedera parah.

"12 orang ditemui mengalami serangan jantung di tingkat bawah dan tingkat satu," menurut seorang pegawai bomba kepada AFP, yang menggunakan frasa yang kerap diungkap di Jepun untuk merujuk kepada mangsa yang sudah meninggal dunia tetapi kematiannya belum disahkan secara rasmi.

Seorang pegawai bomba kemudian memberitahu AFP bahawa sekurang-kurangnya 11 lagi ditemui mengalami "serangan jantung" pada tingkat dua dan di tangga menuju ke bahagian bumbung bangunan, sekaligus membawa angka korban kebakaran kepada sekurang-kurangnya 24 orang.

Para pegawai turut mendedahkan bahawa 35 orang cedera dalam insiden itu, termasuk 10 yang dalam keadaan kritikal. Media tempatan melaporkan sekitar 70 orang dipercayai berada dalam bangunan ketika kebakaran tercetus.

Menurut pihak polis, kebakaran seolah-olah disengajakan, namun setakat ini belum ada maklumat mengenai motif serangan.

Jabatan Bomba menyatakan pihaknya mula menerima panggilan pada sekitar 10.35 pagi berkenaan insiden di studio milik Kyoto Animation itu.

Media tempatan yang menukil seorang pegawai polis melaporkan bahawa angka korban dijangka meningkat dengan beberapa orang di dalam bangunan dikatakan tidak menunjukkan sebarang tanda masih hidup.

Rakaman video menunjukkan kepulan asap tebal berwarna putih keluar dari tingkap-tingkap bangunan tiga tingkap itu.

"Pemanggil melaporkan terdengar bunyi letupan dari tingkat pertama Kyoto Animation dan melihat asap," menurut seorang jurucakap bomba.

Menurut laporan, seorang suspek kelihatan menuang bahan seperti gasolin di sekeliling bangunan sebelum menyalakannya. 

Sumber : Agensi berita/CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan