Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

22 negara selar China di PBB berhubung penahanan Muslim Uighur

Lebih 20 negara menyeru China supaya menghentikan penahanan secara beramai-ramai kaum etnik Uighur di wilayah Xinjiang. Ini pertama kali langkah sedemikian diambil berhubung isu itu di Majlis Hak Asasi Manusia PBB, menurut para diplomat dan sepucuk surat yang ditunjukkan kepada Reuters.

Anggaran Waktu Membaca:
22 negara selar China di PBB berhubung penahanan Muslim Uighur

Kompleks di Xinjiang yang dipercayai sebagai kem pusat 'pendidikan semula' (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 10 Jul 2019 11:01PM Dikemas Kini : 10 Jul 2019 11:17PM

GENEVA: Lebih 20 negara menyeru China supaya menghentikan penahanan secara beramai-ramai kaum etnik Uighur di wilayah Xinjiang. Ini pertama kali langkah sedemikian diambil berhubung isu itu di Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menurut para diplomat dan sepucuk surat yang ditunjukkan kepada Reuters.

Pakar-pakar PBB dan aktivis berkata sekurang-kurangnya sejuta kaum Uighur dan penganut Muslim lain sedang ditahan di pusat-pusat tahanan di wilayah barat China. China bagaimanapun menyifatkan tempat-tempat itu sebagai pusat latihan yang membantu mengekang pengganasan dan memperkasa warganya dengan kemahiran baru.

Surat yang dikeluarkan buat julung-julung kalinya yang ditujukkan kepada presiden musyawarah itu, bertarikh 8 Julai, ditandatangani duta dari 22 negara. Australia, Kanada dan Jepun adalah antara negara tersebut, selain negara-negara Eropah seperti Britain, Perancis, Jerman dan Switzerland.

Ia bagaimanapun bukan satu kenyataan rasmi untuk dibaca di Majlis tersebut mahupun satu resolusi yang akan diundi seperti yang diharapkan para aktivis. Menurut para diplomat, ini disebabkan rasa takut pemerintah-pemerintah terhadap kemungkinan tindak balas politik dan ekonomi dari China.

"Ini respons pertama secara beramai-ramai berhubung Xinjiang," seorang diplomat negara Barat memberitahu Reuters pada Rabu. "Idea suatu resolusi memang tidak pernah dipertimbangkan."

Seorang lagi menyifatkannya sebagai satu "langkah rasmi" dan satu "penanda" kepada China.

'PUSAT PENAHANAN BESAR-BESARAN'

Surat tersebut menyuarakan kebimbangan terhadap laporan-laporan berkenaan penahanan tidak sah "di pusat penahanan besar-besaran, selain pemantauan dan sekatan meluas yang secara khususnya menyasarkan masyarakat Uighur dan minoriti lain di Xinjiang".

"Kami menggesa China agar memartabatkan undang-undang negara dan tanggungjawab antarabangsa serta menghormati hak asasi manusia serta kebebasan asas, termasuk kebebasan agama atau kepercayaan di Xinjiang dan merata China," menurut surat itu.

"Kami juga menggesa China untuk tidak menahan secara rambang atau menyekat kebebasan bergerak masyarakat Uighur dan masyarakat Muslim dan minoriti lain di Xinjiang."

Surat itu menggesa China agar membenarkan pakar-pakar bebas antarabangsa termasuk Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia Michelle Bachelet "akses sewajarnya" ke Xinjiang.

Bagaimanapun tiada wakil Barat yang sanggup tampil dan menampakkan diri sebagai "ketua gerakan" menerusi kenyataan bersama ataupun resolusi, menurut para diplomat. Wakil China 'naik minyak' akibat surat yang dikeluarkan dan sedang menyiapkan suranya sendiri, menurut seorang diplomat.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan