Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

22 bazar Ramadan seluruh M'sia diarah tutup 3 hari mulai 1 Mei

Sebanyak 22 bazar Ramadan yang sedang beroperasi di seluruh Malaysia diarah untuk menutup operasi selama tiga hari berkuat kuasa Sabtu (1 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
22 bazar Ramadan seluruh M'sia diarah tutup 3 hari mulai 1 Mei

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 01 May 2021 01:02AM Dikemas Kini : 01 May 2021 01:07AM

KUALA LUMPUR: Sebanyak 22 bazar Ramadan yang sedang beroperasi di seluruh Malaysia diarah untuk menutup operasi selama tiga hari berkuat kuasa Sabtu (1 Mei).

Menurut kenyataan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) hari ini (30 Apr), penutupan operasi itu melibatkan empat bazar Ramadan di Johor, Kedah (tiga), Pulau Pinang (lapan), Perak (satu) manakala masing-masing dua di Pahang, Selangor dan Kuala Lumpur.

Kesemua bazar terbabit dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi yang boleh menjadi punca penularan jangkitan COVID-19 berdasarkan data terkumpul daripada laporan sistem Hotspot Identification by Dynamic Engagement (HIDE).

Kesemuanya ada lebih 1,070 bazar Ramadan di seluruh Malaysia buat masa ini.

"Laporan HIDE telah menunjukkan bahawa angka kontak rapat yang tinggi dalam kalangan pengunjung dan peniaga di bazar Ramadan yang terlibat.

"Sehingga 15 April, sebanyak 904 kes positif COVID-19 yang dilaporkan mempunyai sejarah kunjungan atau dijangkiti oleh individu yang pernah mengunjungi bazar Ramadan tersebut," menurut kenyataan itu.

Sistem HIDE, dibangunkan bersama oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bertujuan untuk memberi amaran awal dalam mencegah ledakan jangkitan COVID-19 dengan menggunakan data daripada aplikasi MySejahtera.

Menurut KPKT, penutupan itu bagi tujuan sanitasi dan memperkemas semula prosedur operasi standard (SOP) di bazar Ramadan tersebut. Sehubungan itu, semua Pihak Berkuasa Negeri (PBN) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) disaran untuk mengetatkan penguatkuasaan pematuhan SOP di bazar Ramadan bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

"Peniaga dan pengunjung juga dinasihatkan agar sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan bagi mengelak peningkatan kes COVID-19," menurut kenyataan itu. 

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan