Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

2 wanita cedera selepas bangunan Bangkok runtuh: Laporan

Dua wanita cedera selepas sebahagian daripada sebuah bangunan komersil, yang sedang dalam proses dirobohkan, runtuh di Bangkok pada Isnin (7 Jan). Demikian menurut media Thailand.

Anggaran Waktu Membaca:
2 wanita cedera selepas bangunan Bangkok runtuh: Laporan

Sebahagian bangunan di Bangkok dalam proses dirobohkan apabila ia runtuh.

Diterbitkan : 08 Jan 2019 01:50PM Dikemas Kini : 08 Jan 2019 01:55PM

BANGKOK: Dua wanita cedera selepas sebahagian daripada sebuah bangunan komersil, yang sedang dalam proses dirobohkan, runtuh di Bangkok pada Isnin (7 Jan). Demikian menurut media Thailand.

Sopita Thongkerd, 23 tahun, dan Napaporn Seiboonreung, 54 tahun, cedera akibat serpihan-serpihan daripada bangunan empat tingkat itu, kata Mejar Polis Thailand Sasipan Khong-eard seperti yang ditukil oleh akhbar The Nation.

Bangunan berkenaan terletak antara Soi 51/1 dengan Soi 51/2 di Ramkamhaeng Road di Bangkok.

Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan sebilangan pejalan kaki yang lalu di kawasan itu menjerit-jerit sambil melarikan diri dari tempat kejadian, sedang objek-objek besi jatuh ke bawah dengan bunyi kuat.

Kepulan asap menyelubungi udara.

Menerusi rakaman video tersebut, seorang wanita boleh dilihat memegang bahagian kanan kepalanya, dengan darah kelihatan mengalir ke baju dan lengannya.

Seorang lagi wanita dilihat terbaring tanpa menyedarkan diri dengan bahagian kepalanya berlumuran darah sedang para pegawai merawatnya.

Bangunan itu, menurut akhbar The Nation, sedang dalam proses dirobohkan apabila ia runtuh. Polis percaya bahawa insiden berkenaan mungkin disebabkan oleh kerja-kerja yang sedang dijalankan.

Seorang pegawai kerja raya, Thawatchai Thawitiyakul, menarik perhatian bahawa beberapa gegaran daripada kerja-kerja perobohan menyebabkan beberapa bahagian daripada tingkat tiga bangunan itu jatuh ke sebuah balkoni di tingkat dua, menurut The Nation.

Pihak berkuasa menyatakan semua kerja-kerja perobohan sudahpun digantung buat sementara waktu sedang siasatan keselamatan dijalankan.

Encik Thawitiyakul menambah bahawa punca runtuhan itu akan dikenalpasti selepas pemeriksaan lanjut ke atas struktur bangunan dan faktor lain dijalankan.  

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan