Images
  • penang airport
    Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang. (Gambar: Malay Mail)

2 saranan dikemuka bagi gantikan lapangan terbang antarabangsa Pulau Pinang

PULAU PINANG: Dua syarikat sudah mengemukakan saranan untuk membina sebuah lapangan terbang, masing-masing di lokasi berbeza di selatan Seberang Perai di tanah besar Pulau Pinang, lapor akhbar The Star hari ini (10 Jun).

Laporan itu menyatakan salah sebuah syarikat itu sudahpun menyampaikan saranannya kepada Putrajaya, manakala sebuah lagi syarikat akan turut berbuat demikian tidak lama lagi.

Saranan yang pertama melibatkan pemerolehan beribu-ribu hektar sawah padi bagi pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Utara Malaysia (NMIA). Saranan kedua pula mengusulkan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Wilayah Utara (NORIA).

Projek lapangan terbang baru itu bertujuan menggantikan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas.

Ada sumber yang menyatakan NMIA akan dibina dekat dengan sempadan antara Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Lapangan terbang NMIA yang akan mempunyai keluasan 650 hektar itu, dengan 400 hektar lagi bagi kemudahan gudang dan logistik, dijangka dibina dengan kos RM10 bilion (S$3.28 bilion). Tapak yang diusulkan buat masa ini merupakan kawasan sawah padi yang luas.

"Syarikat berkenaan menyarankan pembinaan lapangan terbang yang cukup besar untuk menguruskan 16 juta penumpang setiap tahun dan ia boleh diluaskan untuk menampung sehingga 25 juta penumpang setahun.

"Ia akan menyediakan kemudahan lapangan terbang kepada tiga negeri dengan terminal berlepas yang menyediakan monorel transit bagi para penumpang untuk membuat perjalanan antara Pulau Pinang dengan NMIA dalam masa 45 minit," kata sumber tersebut kepada akhbar The Star.

Bagi Lapangan Terbang Antarabangsa Wilayah Utara (NORIA) pula, saranan berkenaan juga merangkumi pelabuhan industri nelayan dan taman perindustrian elektronik yang baru.

Ada sumber lain yang mengatakan projek NORIA akan dibina atas tanah seluas 5,000 hektar yang terletak antara Jambatan Pulau Pinang kedua dengan sempadan Pulau Pinang dengan Perak.

KERAJAAN PULAU PINANG TIDAK MAKLUM SARANAN

Agensi berita Bernama melaporkan kerajaan negeri Pulau Pinang tidak tahu menahu tentang cadangan pembinaan dua lapangan terbang baru seperti yang dilaporkan akhbar The Star hari ini, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan negeri mengalu-alukan sebarang cadangan untuk membangunkan sebuah lapangan terbang baru di negeri atau wilayah itu.

"Kerajaan negeri Pulau Pinang ingin mengulangi pendirian kami sebelum ini bahawa sebarang cadangan pembinaan lapangan terbang baharu tidak boleh menjejaskan peranan dan fungsi Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas serta pembangunan masa depan negeri ini.

“Ekonomi Pulau Pinang dan rakyatnya mesti mendapat manfaat daripada sebarang cadangan seperti itu,” menurutnya menerusi satu kenyataan hari ini.

Encik Chow berkata kerajaan negeri akan menunggu sehingga cadangan itu dikemukakan dan memberi maklum balas selepas itu, lapor Bernama.

Beliau berkata kerajaan negeri juga akan meneruskan cadangan untuk mengadakan satu kajian berhubung keperluan masa depan lapangan terbang di Pulau Pinang dan wilayah di sekelilingnya. 

- Agensi berita/ZM/zm

Top