Images
  • kayak
    Gambar hiasan. (Gambar: Unsplash)

2 rakyat S’pura dilaporkan hilang ketika berkayak di perairan Mersing

JOHOR BAHRU: Dua warga Singapura dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti berkayak di Perairan Endau.

Pemangku Ketua Polis Daerah Mersing, Asisten Superintenden Mohd. Nor Mohd berkata mangsa yang hilang dikenali sebagai Encik Tan Eng Soon, 62 tahun, dan Cik Puah Geok Tin, 57 tahun, lapor Astro Awani.

"Mangsa yang juga seorang lelaki dan wanita itu gagal dikesan semasa menyertai aktiviti berkayak bersama 13 lagi peserta kayak yang kesemuanya adalah warga Singapura ketika melakukan aktiviti itu di pulau sekitar Endau.

"Mereka disyaki hilang antara Pulau Sri Buat di Perairan Pahang dan Pulau Mertang di Mersing.

"Dilaporkan mangsa terpisah dari kumpulan berkayak pada 5.40 petang pada khamis, akibat laut bergelora dan angin kencang.

"Aduan polis dibuat berkaitan kehilangan mereka pada jam 10.30 pagi tadi (Jumaat) selepas usaha mencari oleh pengadu dan rakan-rakan mangsa gagal," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Encik Mohd Nor operasi mencari dan menyelamat (SAR) kedua mangsa melibatkan anggota Balai Polis Endau, sebuah bot marin bersama anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta sebuah bot kilat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, menurut Astro Awani.

Astro Awani melaporkan bahawa kes berkenaan diklasifikasikan sebagai Orang Hilang. 

- Agensi berita/NA/na

Top