Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

2 rakyat Haiti maut dalam bantahan antirasuah

Sekurang-kurangnya dua orang mati dalam satu bantahan yang menentang rasuah di ibu kota Port-au-Prince di Haiti.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 11 Jun 2019 01:12AM Dikemas Kini : 11 Jun 2019 01:17AM

PORT-AU-PRINCE: Sekurang-kurangnya dua orang mati dalam satu bantahan yang menentang rasuah di ibu kota Port-au-Prince di Haiti.

Para penunjuk perasaan membakar tayar dan melempar batu semasa bantahan tersebut.

Mereka menuntut agar Presiden Jovenal Moise meletak jawatan atas dakwaan penipuan dan salah pengurusan dana pemerintah.

Pihak polis menyembur gas pemedih mata untuk mengelak penunjuk-penunjuk perasaan daripada mendekati Istana Presiden.

Presiden Moise dituduh memanfaatkan dana hasil satu kerjasama dengan Venezuela dalam pembelian minyak.

Para pembantah menuntut supaya siasatan lanjut dijalankan ke atas dana negara berkaitan dengan penghantaran minyak bersubsidi dari Venezuela di bawah program Petrocaribe.

Hasil siasatan Dewan Senat negara itu baru-baru ini mendapati sekurang-kurangnya 14 mantan pegawai pemerintah didakwa menyalahgunakan dana AS$3.8 bilion (S$5.2 bilion) di bawah pentadbiran mantan Presiden Michel Martelly.

Ekonomi Venezuela yang kian mundur memaksa negara Amerika Selatan itu untuk mengurangkan secara mendadak penghantaran minyak di bawah program Petrocaribe yang mengakibatkan masalah penjanaan kuasa. Ramai rakyat Haiti kini mendapat bekalan elektrik hanya selama beberapa jam sehari.

Para penunjuk perasaan tersebut merangkumi anggota masyarakat pelbagai latar belakang, termasuk dari parti-parti politik, kumpulan-kumpulan agama dan para aktivis masyarakat. 

Sumber : Agensi berita/NF/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan