Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

2 penuntut kolej dipenjara kerana senyap-senyap kebumikan bayi

Selepas mahkamah menjatuhkan hukuman, Nur Fitri Iryani kelihatan menangis. Keluarganya juga turut hadir di mahkamah.

Anggaran Waktu Membaca:
2 penuntut kolej dipenjara kerana senyap-senyap kebumikan bayi

Gambar hiasan.

Diterbitkan : 13 Jan 2018 01:34PM Dikemas Kini : 13 Jan 2018 01:37PM

PETALING JAYA: Sepasang kekasih yang masih menuntut di sebuah kolej swasta masing-masing dihukum penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Malaysia atas tuduhan menyembunyikan kelahiran bayi perempuan mereka dengan mengebumikan mayat bayi selepas kelahirannya.

Majistret Zaki Asyraf Zubir menjatuhkan hukuman itu terhadap Faizal Said, 20 tahun, dan Nur Fitri Iryani Sani, 19 tahun, selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan itu dan memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara bermula semalam (12 Jan).

Mereka didakwa dengan sengaja menyembunyikan kelahiran bayi perempuan mereka dengan mengebumikan mayat mangsa dengan senyap-senyap setelah bayi itu meninggal dunia selepas dilahirkan di sebuah pangsapuri di Kelana Jaya, pada pukul 10.00 malam, 23 Ogos tahun lalu.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Selepas mahkamah menjatuhkan hukuman, Nur Fitri Iryani kelihatan menangis. Keluarganya juga turut hadir di mahkamah.

Terdahulu, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuan mereka, memohon hukuman penjara minimum dengan alasan mereka berasal daripada keluarga susah selain masih belajar dan ingin meneruskan pengajian.

Mereka berkata bayi yang dilahirkan itu tidak cukup bulan dan tidak mengetahui perbuatan mereka itu salah di sisi undang-undang.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Fazeedah Faik memohon kedua-dua tertuduh dikenakan hukuman berbentuk pemenjaraan dengan alasan perbuatan mereka menyebabkan bayi berkenaan meninggal dunia.

“Gambar menunjukkan bayi dalam keadaan sempurna dan kedua-dua tertuduh seharusnya mendapatkan rawatan atau memaklumkan kepada pihak berkuasa,” katanya.

Mengikut fakta kes, ketika kejadian Nur Fitri Iryani mengadu kepada Faizal bahawa dia mengalami sakit perut lalu Nur Fitri Iryani pergi ke tandas dan melahirkan bayi secara normal.

Bayi itu jatuh ke atas lantai dalam keadaan jarinya masih bergerak, bagaimanapun selepas itu Nur Fitri mendapati bayi itu tidak lagi bernyawa dan memaklumkan perkara itu kepada kekasihnya lalu Faizal bertindak membawa mayat bayi itu keluar dari pangsapuri.

Sepanjang wanita itu mengandung tiada sebarang rawatan perubatan diambil walaupun dia mengetahui sedang hamil. 

Sumber : Bernama/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan