Images
  • hong kong mask court
    Para penunjuk perasaan melindungi identiti mereka dengan payung semasa berkumpul di luar Mahkamah Daerah Timur di Hong Kong. (Gambar: Mohd Rasfan/AFP)

2 penunjuk perasaan, individu pertama didakwa di Hong Kong cabuli larangan pakai topeng

HONG KONG: Seorang lelaki dan seorang wanita didakwa di mahkamah kerana mencabuli undang-undang mengharamkan penggunaan topeng muka di Hong Kong.

Mereka merupakan yang pertama didakwa kerana melanggar undang-undang kontroversil itu, yang mula berkuat kuasa Sabtu (5 Okt) lalu.

Menurut Hong Kong Free Press, kedua-dua tertuduh sudahpun dibebaskan atas ikat jamin.

Kedua-dua suspek - seorang penuntut universiti lelaki berusia 18 tahun dan seorang wanita 38 tahun - diberkas pada awal pagi Sabtu lalu.

Mereka berdua juga didakwa atas tuduhan berkumpul secara haram.

Kedua-dua tertuduh tidak dibenar meninggalkan Hong Kong dan perlu melaporkan diri kepada polis seminggu sekali.

Perintah berkurung antara 11.00 malam hingga 6.00 pagi juga dikenakan ke atas mereka.

Mereka bakal dibicarakan pada 18 November depan.

Sementara itu, bantahan di jalan-jalan raya berterusan di Hong Kong pada Ahad (6 Okt) dengan ribuan penunjuk perasaan berarak dan memakai pelitup muka, menentang undang-undang yang baru diperkenalkan tersebut.

Kesalahan menutup muka semasa bantahan boleh membawa kepada hukuman penjara setahun.

Khidmat kereta api di 39 stesen akan dibuka semula hari ini (7 Okt) tetapi tiga laluan masih ditutup sepenuhnya.

Seluruh rangkaian kereta api MTR Hong Kong juga akan ditutup pada 6.00 petang hari ini untuk membolehkan kerja-kerja pembaikan diteruskan. 

- AFP/AA/fz

Top