2 peguam Najib tarik diri
Peguam kepada mantan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Harpal Singh Drewal menarik diri daripada mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak.
KUALA LUMPUR: Peguam kepada mantan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Harpal Singh Drewal menarik diri daripada mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak.
Datuk Harpal mengesahkan perkara itu ketika dihubungi selepas meninggalkan kediaman Datuk Seri Najib di Langgak Duta, Taman Duta pada 10.40 malam semalam (21 Mei).
Beliau berkata bahawa seorang lagi peguam, Encik M. Athimulan turut menarik diri daripada mewakili mantan Perdana Menteri itu.
Katanya keputusan itu diambil selepas Datuk Seri Najib memutuskan untuk menggunakan khidmat manatan Peguamcara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden dan enam lagi rakan guamnya.
“Kami tidak dipecat, tapi kami menarik diri selepas perbincangan pada malam ini,” kata beliau.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengarahkan Datuk Seri Najib supaya hadir di ibu pejabat SPRM Putrajaya hari ini (22 Mei) untuk membantu siasatan berhubung kes SRC International Sdn Bhd.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki dilaporkan berkata pihaknya sudahpun menyerahkan notis kepada Datuk Seri Najib untuk hadir ke ibu pejabat suruhanjaya itu pada 10.00 pagi ini untuk dirakam keterangannya.
Beliau berkata sejauh ini, SPRM hanya memanggil Datuk Seri Najib saja dan belum membuat keputusan memanggil mana-mana individu lain.
SRC International merupakan anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.
Jumaat lalu (18 Mei), sepasukan pegawai SPRM berkunjung ke rumah Datuk Seri Najib di Taman Duta untuk menghantar notis meminta Anggota Parlimen Pekan itu hadir ke pejabat SPRM bagi memberi keterangan demi membantu siasatan kes berkenaan.
Tinjauan Bernama mendapati bahawa kediaman Datuk Seri Najib terus menjadi tumpuan kira-kira 50 pengamal media yang menunggu perkembangan terkini selain orang ramai yang mengambil peluang untuk bergambar di laluan masuk ke kediaman itu yang dikawal polis.
Seramai 15 pelajar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dari Kampung Datuk Keramat turut memasuki kediaman Datuk Seri Najib pada 10.50 malam semalam.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.