Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

2 pegawai polis digantung tugas; guna aplikasi lambung duit syiling sebagai penentu nasib pemandu

Dua pegawai polis digantung tugas selepas sebuah video yang tersebar menunjukkan mereka menggunakan aplikasi melambung duit. 

Anggaran Waktu Membaca:
2 pegawai polis digantung tugas; guna aplikasi lambung duit syiling sebagai penentu nasib pemandu

Petikan gambar video yang tular di media sosial. Gambar dipetik semasa kejadian.

Diterbitkan : 16 Jul 2018 11:32PM Dikemas Kini : 16 Jul 2018 11:39PM

GEORGIA: Dua pegawai polis digantung tugas selepas sebuah video yang tersebar menunjukkan mereka menggunakan aplikasi melambung duit. Mereka menggunakan aplikasi tersebut bagi menentukan sama ada wanita yang ditahan kerana memandu melebihi kelajuan yang ditetapkan perlu diberkas.

Ketua Polis mengatakan beliau "terkejut" dengan tindakan dua polis wanita itu.

"Mengapa saya diberkas?" kedengaran wanita yang ditahan bernama Sarah Webb berkata demikian kepada pegawai yang dikenali sebagai Courtney Brown dalam video yang dirakam dari dalam kenderaan.

Sarah memberitahu NBC News bahawa beliau memandu laju kerana sudah terlambat untuk ke tempat kerja. Sarah diberkas atas tuduhan memandu laju dan membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain. Namun, tiga hari kemudian, pendakwa menolak dakwaan ke atasnya.

Dalam video yang dimuat naik agensi media WXIA, Brown dan seorang lagi pegawai, Kristee Wilson, berbincang tentang tindakan yang perlu diambil terhadap Sarah. Brown berkata beliau tidak mempunyai perkakas untuk memeriksa kelajuan kenderaan yang dipandu. Wilson pula tidak mempunyai surat saman untuk dikeluarkan.

Dua pegawai itu sebaliknya bergantung kepada satu aplikasi bagi menentukan jika mereka perlu memberkas Sarah. "Ini ekor bukan?" tanya Wilson.

Brown selanjutnya berkata: "Ya, jadi dibebaskan sahaja?"

"23," jawab Wilson. Nombor itu merupakan kod polis tempatan untuk menangkap suspek.

SARAH INGIN MEREKA DIPECAT

"Polis seharusnya melindungi rakyat dan bukan menganggap kebebasan dan kehidupan kita sebagai satu permainan," kata Sarah, 24 tahun, kepada NBC News dalam satu wawancara melalui panggilan telefon. "Saya tidak pernah membayangkan para pegawai polis akan melakukan perkara ini."

"Ini bukan prosedur yang seharusnya dijalankan seorang pegawai polis - sama ada menggunakan satu aplikasi atau melambung duit syiling - itu bukan sebahagian daripada cara kami menentukan seseorang dibebaskan," kata Ketua Polis Rusty Grant.

Sarah menjelaskan kepada NBC News bahawa beliau tidak tahu kedua-dua pegawai polis itu menggunakan aplikasi tersebut sebelum memberkasnya sehingga beliau dihubungi agensi media WXIA tiga minggu sebelum dihadapkan ke mahkamah.

Dalam satu kenyataan kepada WXIA, Encik Grant berkata bahawa tindakan dua pegawai polis berkenaan bukan gambaran tepat tentang piawai Jabatan Polis Roswell.

Sarah pula berkata beliau tidak berpuas hati dua pegawai berkenaan sekadar digantung daripada tugas buat sementara waktu, dan menyifatkan hukuman mereka seolah-olah "cuti bergaji".

"Saya ingin mereka dipecat, kerana mereka tidak seharusnya bermain dan menentukan kebebasan saya berdasarkan duit syiling," katanya.  

Sumber : Agensi berita/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan